Tujuh termasuk dua beradik langgar SOP dikompaun RM10,000

Tujuh termasuk dua beradik langgar SOP dikompaun RM10,000

KUANTAN: Dua beradik antara tujuh individu dikenakan tindakan kompaun RM10,000 selepas didapati tidak mendaftar sebelum memasuki premis di sekitar bandar raya ini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua mereka yang berusia antara 18 hingga 61 tahun, didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam satu operasi pemantauan, jam 10 malam tadi.
“Semua mereka termasuk pemilik permis perniagaan gerai makanan di Telok Cempedak, dikenakan kompaun mengikut Peraturan 18 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Kesalahan direkodkan adalah kerana membenarkan pelanggan masuk ke premis tanpa mendaftar masuk menggunakan aplikasi QR Code MySejahtera dan tidak mendaftar nama pada buku daftar masuk premis,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini seramai 25 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP sejak 11 Mac sehingga semalam di seluruh daerah ini.
“Pihak polis tidak bertindak sesuka hati mengeluarkan kompaun, tetapi hanya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan menggunakan budi bicara sebelum mengambil tindakan.
“Kita dah banyak kali beri nasihat dan amaran sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka dan SOP yang perlu dipatuhi ini juga bukanlah benda (perkara) baharu,” katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang sudah menambah jumlah pasukan pemantau pada hujung minggu memandangkan orang ramai didapati mula keluar melakukan aktiviti rekreasi bersama ahli keluarga masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *