13 bot nelayan, 160 awak-awak warga Vietnam ceroboh perairan Pahang

13 bot nelayan, 160 awak-awak warga Vietnam ceroboh perairan Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga menahan seramai 160 nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini menggunakan 13 bot untuk menangkap ikan dan sotong sepanjang 2019.

  Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, kejayaan berkenaan hasil beberapa operasi yang dilakukan dalam usaha memastikan perairan negeri ini terus bebas daripada pencerobohan nelayan asing.

Bot nelayan asing warga Vietnam yang ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga kerana  menceroboh perairan negeri ini.

  Menurutnya, tahun lalu pihaknya tidak terbabit dengan aktiviti menangkap nelayan asing sebaliknya lebih kepada operasi mengusir mereka berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara.

  Katanya, selain PPM, agensi penguatkuasaan yang turut terbabit dalam operasi mengusir bot nelayan asing ialah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

  “Dalam tempoh tiga bulan tahun ini kita berjaya menahan sembilan nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini dengan menggunakan dua bot dan terbaharu bulan lalu, membabitkan tiga individu ditahan di kawasan 39 batu nautika perairan di Kuala Pahang pada Ops Naga Barat.

  “Nilai rampasan bot termasuk pelbagai peralatan menangkap serta mengesan ikan lebih RM900,000. Bot berkenaan kini ditempatkan di Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, pihaknya

memandang serius perbuatan nelayan asing menceroboh perairan negeri ini dengan tujuan menangkap pelbagai hasil laut.

  Norzaid berkata, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 melakukan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan perairan negara ini tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *