Jentera serangan tumpul padam misi kutip mata

Jentera serangan tumpul padam misi kutip mata

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Ketumpulan jentera serangan memadam misi Sri Pahang FC apabila kecundang 0-1 di tangan Petaling Jaya City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ), malam tadi.

  Pengurus pasukan, Dollah Salleh berkata, kegagalan penyerang memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian.

  Katanya, selepas lima perlawanan, masalah bahagian serangan dilihat antara faktor pasukan itu gagal menyerlah walaupun jentera tengah dan pertahanan dilihat semakin menunjukkan peningkatan.

  “Pada perlawanan malam tadi, jentera serangan begitu tumpul sekali dan tidak memberi impak. Walaupun berusaha bangkit pada babak kedua perlawanan, ia tidak menjadi.

  “Sekurang-kurangnya tiga peluang dimiliki dan mampu menghasilkan jaringan tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

  “Bagi saya, masalah jentera serangan perlu diperbaiki segera jika mahu memberi saingan kepada lawan pada perlawanan seterusnya,” kata Dollah yang memangku tugas selaku ketua jurulatih.

  Mengulas kekalahan itu, Dollah berkata, satu kesilapan membawa padah sehingga menyebabkan Sri Pahang terpaksa akur pulang dengan tangan kosong di tempat lawan.

  “Saya harap tempoh rehat panjang 10 hari akan membantu memperbaiki segala kelemahan terutama di bahagian serangan.

  “Fokus saya untuk memastikan semua pemain terutama penyerang dapat mempertingkatkan prestasi mereka,” katanya.

  Musim ini, Sri Pahang mempertaruhkan Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique di bahagian serangan tetapi mereka gagal membuktikan sebagai penyerang berbisa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *