Ode Jee sasar 5 juta muat turun aplikasi

Ode Jee sasar 5 juta muat turun aplikasi

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Pengendali aplikasi makanan halal pertama di Malaysia, Ode Jee, menyasarkan jumlah muat turun sekurang-kurangnya 5 juta secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.

KUANTAN 22 MAC 2021. Ketua Pegawai Eksekutif, Vantage Solution Sdn Bhd, Yusaini Ali (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah)  pada majlis pelancaran aplikasi ‘Ode Je’ Peringkat Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan di The Zenith Hotel. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, JME Resources Sdn Bhd, Alfian Abas. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yussaini Ali berkata, dalam masa terdekat ini pihaknya mengunjurkan sejuta muat turun aplikasi berkenaan.

  Katanya, sasaran itu realistik dan mampu dicapai dengan didorong strategi pengembangan operasi syarikat ke seluruh negara menjelang akhir tahun selain keunikan bentuk perniagaan yang mengkhususkan kepada penghantaran makanan halal.

KUANTAN 22 MAC 2021. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad membuat ucapanan berucap pada majlis pelancaran aplikasi ‘Ode Je’ Peringkat Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan di The Zenith Hotel. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Meskipun sekarang ini banyak aplikasi (penghantaran makanan) berada di pasaran, namun belum ada satu pun yang betul-betul mempunyai komitmen dan fokus kepada Islam serta halal.

  “Maka, tercetuslah idea mewujudkan aplikasi Ode Jee sejak tahun lalu dengan Johor Bahru menjadi lokasi pertama kami menerusi pelancaran Januari lalu dan hari ini kami mula meneroka pasaran di Pantai Timur dengan pelancaran di sini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Aplikasi Ode Jee di sini, hari ini.

KUANTAN 22 MAC 2021. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (kiri) melancarkan aplikasi ‘Ode Je’ Peringkat Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan di The Zenith Hotel. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Vantage Solution Sdn Bhd, Yusaini Ali (tengah). FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif JME Resources Sdn Bhd, Alfian Abas.

  Mengulas lanjut, Yussaini berkata, menjelang akhir tahun ini, syarikat menyasarkan kerjasama dengan 1,000 vendor bagi setiap negeri di seluruh negara.  

  “Buat masa ini, di Pahang sudah ada 300 vendor (berdaftar), manakala di Kelantan dan Terengganu pula kira-kira 250 vendor.

  “Kami akan memperluaskankan aplikasi Ode Jee ke seluruh negara secara berperingkat bagi memberi pilihan kepada umat Islam mendapatkan perkhidmatan penghantaran makanan dijamin halal,” katanya.

  Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama kepada Ode Jee dan berharap aplikasi berkenaan dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang Islam sendiri mengenai kepentingan bab halal dan haram membabitkan makanan.

  “Kerajaan negeri menyambut baik usaha dijalankan pihak Ode Jee dan JME Resources Sdn Bhd kerana memilih Pahang sebagai lokasi pelancaran aplikasi berkenaan untuk peringkat Pantai Timur.

  “Saya difahamkan aplikasi Ode Jee akan beroperasi sepenuhnya pada minggu pertama bulan April nanti dan ia sangat bertepatan dengan kedatangan bulan Ramadan,” katanya.

  Menurutnya, memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir, perkhidmatan Ode Jee sesuai digunakan untuk memesan juadah berbuka puasa tanpa perlu bersesak di bazar Ramadan nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *