Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang bebas COVID-19, kini beroperasi semula

Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang bebas COVID-19, kini beroperasi semula

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

BERA: Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang kini dapat beroperasi semula selepas ujian calitan kali kedua 234 penghuni dan penjaga pusat jagaan itu menunjukkan keputusan negatif.

  Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Task-Force COVID-19 Pahang, baru-baru ini.

  “Kerajaan Pahang mengambil keputusan ini selepas membuat penilaian menyeluruh dan mengambil kira perkembangan keputusan (calitan) terkini,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Kes terbabit bermula apabila lima kes positif dikenali Kluster Jalan Warga Emas iaitu di pusat jagaan berkenaan, dikesan menerusi saringan survelan dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Bera pada 11 Mac lalu.

  Saringan berkenaan membabitkan semua penghuni berusia 60 hingga 92 tahun dan penjaga seramai 265 orang semuanya.

  Semua kes positif kemudian dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut.

  “Kerajaan negeri amat menghargai komitmen tinggi ditunjukkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan sukarelawan terdiri daripada anggota Pertubuhan Sukarela Kebajikan Daerah (PSKD) Bera yang menggantikan tugas penjaga penghuni rumah kebajikan ini yang berjumlah 37 orang yang dikuarantin sebelum ini,” kata Shahaniza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *