Usah remehkan fakta dan sejarah: Al-Sultan Abdullah

Usah remehkan fakta dan sejarah: Al-Sultan Abdullah

Oleh Husin Ibrahim

KUANTAN: KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat tidak meremehkan  fakta dan bidang sejarah kerana ia adalah perkara penting sebagai asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia. 

  Baginda bertitah, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu. 

   Titah baginda, fakta-fakta yang memburukkan penduduk tempatan perlu diperbetulkan. 

   “Saya berpendapat cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah ini amat bertepatan pada ketika kita mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.

   “Saya percaya pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam. 

   “Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air,” titah baginda

   Baginda bertitah demikian pada majlis Taklimat Cadangan Menandatangani (MOA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang  Al-Sultan Abdullah di Khutub Khanah Diraja, di sini, hari ini.

   Turut hadir, Paduka Anakanda-Anakanda Tuanku, Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah,  Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah,  Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. 

  Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar  Shamsudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal .

   Baginda berharap  

kerajaan negeri Pahang dapat menyokong penuh penubuhan pusat kajian ini dengan memberi geran khas tahunan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan seperti penganjuran seminar, kolokium dan bengkel, penyelidikan, penerbitan, penterjemahan, latihan dan sebagainya. 

   “Saya menaruh harapan yang tinggi agar pusat ini nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia di kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka. 

   “Saya fikir ini satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri,” titah baginda.

   Al-Sultan Abdullah bertitah, apa yang di usahakan hari ini bukanlah untuk generasi sekarang semata mata, tetapi untuk generasi akan datang yang bakal mewarisi, seperti mana apa yang kita ada sekarang adalah atas usaha yang dilakukan oleh datuk nenek kita beratus-ratus tahun dahulu. 

   “Hari ini kita menggunakan segala tinggalan mereka dalam bentuk manuskrip, tekstil, seramik dan lain-lain yang menjadi kebanggaan dan pengenalan kita sebagai satu bangsa bertamadun di mata dunia.  

   “Kita seharusnya bersyukur kerana apa yang kita makan, apa yang kita pakai, tulisan yang kita guna, bahasa yang kita pertuturkan dan peralatan yang kita gunakan untuk kegunaan seharian sebahagian besarnya adalah hasil usaha orang atau cendikiawan terdahulu yang kita warisi dan kita namakannya sebagai sejarah dan budaya kita,” titah baginda.

   Tuanku bertitah, kita seringkali lupa siapa yang berjasa dan hanya mengenali mereka melalui tulisan atau catatan tertentu sahaja.  

   “Sejarah ialah iktibar. Jadi saya berharap kita tidak mengabaikan kepentingan sejarah. Jangan memandang rendah usaha-usaha yang dilakukan oleh ahli

sejarah dan ahli muzium kerana setinggi mana pun kita terbang, kita akan tetap kena berpijak di bumi yang nyata. Ibarat kata perpatah, melihat keindahan bintang di langit, hijau rumput di taman jangan dilupa,” titah Tuanku.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *