33 anggota Wataniah sertai Operasi Penawar PKPP

33 anggota Wataniah sertai Operasi Penawar PKPP

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Anggota Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah yang bertugas sepanjang Operasi Penawar Perintah Kawalan 

Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu berasa bangga dapat berbakti pada negara.

  Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel 

Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, seramai 33 anggota terbabit dalam operasi berkenaan sejak Mac tahun lalu.

Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan pangkat pada anggota sempena 
Perbarisan Perasmian Pembukaan Latihan Tempatan 2021 di Kem 505 Taman Gelora, Kuantan.

  Titah Yang Amat Mulia, anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini menjadi antara individu barisan hadapan membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan memastikan orang awam sentiasa mematuhi arahan kerajaan.

  “Saya mengucapkan tahniah kepada tujuh pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat yang terbabit dengan Operasi Penawar sejak Mac tahun lalu hingga kini.

  “Sebagai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah saya berasa berbangga dengan pengorbanan yang dicurahkan dalam keadaan negara berhadapan wabak COVID-19,” titah Yang Amat Mulia.

  Yang Amat Mulia bertitah demikian pada Perbarisan Perasmian Pembukaan Latihan Tempatan 2021 di Kem 505 Taman Gelora, di sini, kelmarin.

  Turut hadir, Penolong Pegawai Memerintah Batalion Pertama Regimen 505 Askar Wataniah, Mejar Jasmi Sidek.

  Tengku Amir Nasser bertitah, jasa anggota barisan hadapan amat besar pada rakyat dalam memastikan wabak COVID-19 tidak terus menular di negara ini. 

  Mengenai latihan yang akan diadakan, Yang Amat Mulia bertitah, ucapan penghargaan diberikan kepada semua pegawai dan anggota Wataniah yang dapat terus aktif hingga hari ini. Semangat serta kesungguhan yang ditunjukkan menjadi kebanggaan kepada pasukan.

  “Sempena pelancaran latihan tahun ini saya merakamkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang telah menghadiri kursus kerjaya dengan cemerlang seterusnya dinaikkan pangkat.

  “Peningkatan kerjaya merupakan aspek penting untuk setiap pegawai dan anggota dalam memastikan ilmu ketenteraan terus dipertingkatkan seterusnya dapat menggilap bakat kepimpinan yang ada,” titah Yang Amat Mulia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *