Paras air Sungai Tembeling meningkat berikutan hujan berterusan dua hari

Paras air Sungai Tembeling meningkat berikutan hujan berterusan dua hari

Oleh Muhammad Izz hin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

JERANTUT: Hujan lebat berterusan sejak semalam, menyebabkan berlaku kenaikan paras air di Sungai Tembeling, di sini, hari ini.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, pihaknya menerima maklumat berlaku kenaikan paras air sungai pada 2 pagi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan air melimpah ke kawasan pinggir Sungai Tembeling iaitu di Kampung Bantal.


“Berikutan kenaikan paras air, sebanyak lapan kedai yang dilaporkan terjejas setakat ini dan anggaran kerosakan masih dalam siasatan.
“Ketika ini, keadaan paras di Sungai Tembeling masih dipantau dari semasa ke semasa melalui agensi keselamatan.
“Bacaan paras air sungai di stesen Sungai Tembeling, Kampung Bantal berada pada paras normal dan menunjukkan penurunan pada jam 9.15 pagi,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin.
Di Kuantan pula, cuaca buruk iaitu hujan lebat dijangka berterusan di daerah ini, hari ini.
Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga esok.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *