Sri Pahang asah taji

Sri Pahang asah taji

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tidak mahu Sri Pahang FC berdepan masalah ketumpulan bahagian serangan, Dollah Salleh memberi tumpuan 100 peratus sepanjang tempoh rehat 10 hari saingan Liga Malaysia (Liga M)  dalam  memperkasa jentera hadapan itu.

  Justeru, pengurus pasukan itu mahu semua pemain memberi fokus terutama membantu pemain serangan untuk tampil lebih padu dan agresif di hadapan gawang lawan sebaik saingan liga bersambung nanti.

  Katanya, ini kerana masalah utama yang membelenggu pasukan itu ialah kegagalan penyerang menjaringkan gol selepas mengharungi lima perlawanan.

  “Daripada tiga gol yang dihasilkan, hanya satu gol menerusi penyerang dan ia belum cukup untuk membantu pasukan mencatatkan kemenangan pada setiap perlawanan.

  “Ketumpulan jentera serangan sepanjang lima perlawanan mengganggu perancangan untuk berada pada kedudukan lebih baik dalam liga.

  “Oleh itu, tempoh rehat 10 hari akan dimanfaatkan untuk memperbaiki segala kelemahan terutama di bahagian serangan,” katanya.

  Dollah yang kini memangku tugas selaku ketua jurulatih meminta semua pemain mempertingkatkan prestasi dalam mencatat keputusan positif.

  “Saya tiada masalah di bahagian tengah dan pertahanan yang semakin menunjukkan peningkatan seperti yang diharapkan,” katanya.

  Musim ini, Sri Pahang menyenaraikan dua penyerang import iaitu Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique.

  Bagaimanapun, dua penyerang itu gagal menyerlah dan memberi impak yang memperlihatkan bahawa Sri Pahang menduduki kedudukan ke-11 liga selepas lima perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *