Tidak akan berlaku pertindihan nama dalam SICP dan MySrjahtera: MB

Tidak akan berlaku pertindihan nama dalam SICP dan MySrjahtera: MB

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tiada pertindihan nama bagi mereka yang mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin menggunakan dua saluran iaitu Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) dan aplikasi MySejahtera.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana SICP adalah sistem ‘penyumbang’ kepada MySejahtera dan diperkenalkan Kerajaan Pahang untuk mempercepatkan lagi proses vaksinasi bagi penduduk di negeri ini.  

  “Tidak akan ada pendaftaran bertindih bagi mereka yang sudah daftar MySejahtera dan kemudian mendaftar pula dengan SICP kerana kedua-dua sistem saling melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan tiada antara kita yang ketinggalan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

  “Fungsi SICP adalah untuk mengumpul data daripada bakal penerima vaksin melalui agensi berkaitan, adakan temujanji dan kemudian maklumat mereka diserahkan kepada MySejahtera untuk proses notifikasi kepada penerima (berhubung tarikh temujanji),” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas sambutan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.  

  Menurutnya, kerajaan negeri berasakan ada beberapa perkara yang lebih sesuai untuk rakyat Pahang mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 sebab itu kita wujudkan SICP.

  “Contohnya, mungkin ada warga emas yang tiada ‘handphone’ (telefon bimbit), tapi anak dia ada dan boleh tolong daftarkan dan kedua, mana-mana individu boleh ‘walk-in’ (masuk terus) sahaja ke tempat suntikan, daftar di situ dan dapat suntikan (vaksin) serta boleh juga daftar guna talian telefon biasa,” katanya.   

  Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, untuk menggalakkan orang ramai mendaftar dengan Program Imunisasi Kebangsaan, pihaknya meminta Majlis Tindakan Sosial Pahang turun padang di kawasan tumpuan untuk membantu mendaftarkan nama bagi menerima suntikan vaksin.

  “Kita minta Majlis Tindakan Sosial Pahang pergi ke pekan sehari, masjid dan surau untuk tolong orang ramai mendaftarkan diri dan mengisi borang dalam MySejahtera sebab kita tahu, masih ramai yang tak reti (tahu) berbuat demikian selain menerangkan mengenai pentingnya mengambil vaksin,” katanya. 

  Mengenai proses vaksinasi untuk pegawai dan anggota polis di Pahang, beliau berkata, setakat ini seramai 3,123 daripada 5,422 sudah menerima suntikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *