Banjir: Dua PPS masih dibuka di Kuantan

Banjir: Dua PPS masih dibuka di Kuantan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 109 mangsa banjir daripada 33 keluarga, masih dibuka di bandar raya ini, setakat jam 4.20 petang ini.

  Portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, dua pusat berkenaan ialah PPS Balai Raya Kampung Tiram dan Dewan Orang Ramai (DOR) Mat Kilau.

  Balai Raya Kampung Tiram merekodkan 103 mangsa daripada 32 keluarga manakala DOR Mat Kilau pula membabitkan enam mangsa daripada satu keluarga.

Keadaan banjir di Kampung Gudang Rasau, Kuantan.

  Berbanding pada 8 pagi tadi, seramai 249 mangsa banjir daripada 74 keluarga ditempatkan di lima PPS di daerah ini.

  Ia menunjukkan penurunan jumlah mangsa susulan keadaan cuaca baik berbanding hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu.

  Bagaimanapun, laporan infobanjir.water.gov.my merekodkan paras air Sungai Belat dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, di sini, melepasi paras amaran.

  Justeru, penduduk dinasihat berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah.

  Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan meramalkan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa daerah termasuk di Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *