COVID-19: PKPD di Taman Guru dua minggu bermula hari ini

COVID-19: PKPD di Taman Guru dua minggu bermula hari ini

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic/video Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Taman Guru di Jalan Gambang, di sini, diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula hari ini berikutan peningkatan kes positif COVID-19.

  Peningkatan Kluster Gambang menjadi faktor PKPD  dilaksanakan di taman perumahan berkenaan yang menempatkan 1,500 hingga 2,500 penduduk membabitkan kawasan yang berkeluasan kira-kira 3.50 kilometer persegi.

Warga emas penduduk Taman Guru menunggu giliran menjalani ujian saringan Covid-19.

  Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, seramai 58 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dengan pemeriksaan di laluan utama keluar masuk di taman perumahan itu.

  Katanya, kawalan dilakukan selama 24 jam di situ  membabitkan tiga pusat pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi mengawal pergerakan penduduk.

  Sementara itu, penduduk Taman Guru, Shahran Amrin Abdullah, 50, berkata, tindakan kerajaan melaksanakan PKPD di Taman Guru adalah satu keputusan yang bijak dalam memastikan tidak berlaku penularan wabak COVID-19.

Penduduk Taman Guru, Shahran Amrin Abdullah.

  Katanya, sebagai penduduk dia akur dengan keputusan itu demi kebaikan bersama dan tidak mustahil penularan wabak COVID-19 terus berlaku sekiranya PKPD tidak dilaksanakan.

  “Walaupun sedih dengan apa yang berlaku sekarang namun saya reda dan berharap episod hitam itu tidak berlarutan kerana ia akan menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.

  “Saya agak terkilan kerana sebelum ini masyarakat di sini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan namun disebabkan sikap degil segelintir individu tidak mematuhi SOP akhirnya Taman Guru berada dalam PKPD,” katanya.

  Beliau menambah, tindakan pantas kerajaan menguatkuasakan PKPD dianggap penting bagi tujuan memastikan golongan warga emas dijangkiti COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *