Dr Ruzita cekal, tekad pastikan golongan OKU tidak terpinggir

Dr Ruzita cekal, tekad pastikan golongan OKU tidak terpinggir

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Siapa sangka dilahirkan dalam keadaan sempurna seseorang itu tidak mustahil bergelar orang kelainan upaya (OKU) apabila ditimpa musibah.

   Begitulah kisah yang dikongsikan oleh Ketua Unit Kelainan Upaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Ruzita Mohd Amin.

  Beliau akur dengan takdir Ilahi apabila diserang demam sehingga mendapat penyakit Polio yang menyebabkannya lumpuh kekal sejak kanak-kanak.

Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff (kanan) bertemu Ketua Unit Kelainan Upaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Ruzita Mohd Amin pada Program Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, Kuantan.

  Bagaimanapun, katanya, pengalaman sebagai OKU memberikannya semangat dan inspirasi untuk membantu golongan itu yang sering terpinggir dan berdepan halangan sikap, fizikal, berkomunikasi dan sistem dalam sesebuah organisasi.

   “Untuk itu, kita perlu memastikan golongan ini dapat disantuni dengan baik demi kesejahteraan dan kebahagiaan bersama.

  “Terdapat beberapa kategori OKU iaitu kurang upaya pendengaran, penglihatan, fizikal, masalah pembelajaran, pertuturan, mental dan kurang upaya pelbagai.

  “Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU bertujuan mewujudkan infrastruktur mesra OKU, budaya komuniti prihatin dan pembelajaran dan kehidupan kondusif,” katanya.

  Dr Ruzita berkata demikian ketika menjayakan Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) di Dewan Bankuet, Canseleri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, di sini.

   Program itu turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Mejar Jeneral (B) Dato’ Yusri Anwar bersama staf dan pelajar OKU UMP.

  Dr Ruzita berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menyediakan akses yang bersesuaian bagi menjaga hal ehwal pelajar OKU.

   Selain itu, menurutnya, IPT perlu memantapkan kualiti hidup pelajar supaya golongan itu tidak terpinggir dan mewujudkan persekitaran kemudahan dan perkhidmatan yang mesra pengguna bagi pelajar OKU.

   “Ini termasuklah pembentukan program pembangunan diri pelajar OKU ke arah laluan kerjaya masa hadapan yang lebih terjamin,” katanya.

  Sebagai tanda sokongan dalam memberi perkhidmatan kepada warga OKU, UMP mewujudkan Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP) dengan mewujudkan kampus yang yang inklusif dan kondusif.

  Dr Wan Azhar berkata, universiti itu juga mempunyai pengalaman apabila menerima pelajar OKU dan pihaknya menilai beberapa isu berkaitan keperluan golongan berkenaan.

  Sehubungan itu, katanya, sejumlah RM50,000 disediakan untuk dimanfaatkan golongan itu dalam menjalankan aktiviti menerusi Tabung OKU di bawah Yayasan UMP.

  “Salah satu agenda kesejahteraan warga kampus dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang memfokuskan kesihatan dan keselamatan warga akan turut memberi tumpuan terhadap golongan OKU di universiti ini.

 “Selari dengan slogan iaitu ‘Teknologi Untuk Masyarakat’, UMP juga bakal melihat isu golongan OKU dalam kalangan masyarakat setempat.

  “Malah dalam memperkasa agenda kesukarelawanan, warga UMP juga dipelawa untuk menjadi ahli dalam persatuan OKU ini sebagai menyokong usaha ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *