MUIP hulur bantu segera kepada 25 mangsa ribut

MUIP hulur bantu segera kepada 25 mangsa ribut

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan bantuan bencana sebanyak 

RM12,500 kepada 25 ketua isi rumah (KIR) yang menjadi mangsa ribut di Kampung Sungai Karang, di sini.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, setiap KIR menerima wang tunai RM500 yang diharap dapat menampung sebahagian kerugian dialami.

  Menurutnya, dalam kejadian 23 Mac lalu, sebanyak 25 rumah di Kampung Sungai Karang mengalami kerosakan selepas dibadai angin kencang dan hujan lebat pada 3.30 petang, selama kira-kira 30 minit menyebabkan banyak bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

  Katanya, kerosakan juga berlaku pada dinding papan rumah, selain banyak atap zink diterbangkan angin kencang yang menyebabkan kerugian besar pada setiap mangsa.

  “Bantuan bencana yang disediakan MUIP bukan ganti rugi tetapi hanya wang ihsan bagi menampung kerugian yang dialami setiap mangsa.

  “Saya difahamkan mangsa angin kencang Kampung Sungai Karang mengalami kerugian besar apabila bumbung dan dinding rumah mereka musnah,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tengku Panglima Muda, Tengku 

Ahmad Ismail Mu’adzam Shah 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyantuni mangsa kejadian ribut di Balai Raya Kampung Batu Hitam, di sini.

  Dr Asmadi menambah, semua mangsa diharap dapat bersabar dengan ujian yang diterima, yakinlah kejadian berkenaan sesuatu bencana tidak diduga menguji keimanan mereka.

  Seorang mangsa, Muhammad Hilmi Ahmad, 30, berkata, dia kerugian kira-kira RM10,000 apabila atap, dinding dan garaj musnah dalam sekelip mata diterbangkan angin kencang.

  “Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap apa yang terjadi merupakan ujian Yang Maha Esa kepada umatnya.

  “Saya mengucapkan terima kasih kepada MUIP yang memberi sumbangan,” katanya yang menetap di Kampung  Chengal Lempong, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *