UMNO Pahang bertegas tolak BERSATU, bertekad memperkasakan Muafakat Nasional

UMNO Pahang bertegas tolak BERSATU, bertekad memperkasakan Muafakat Nasional

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Kekalkan kerjasama dengan PAS, namun tiada tempat untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Itu mesej jelas UMNO Pahang yang disuarakan di pentas Perbahasan Ucapan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.  

  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO sudahpun mempunyai wadah dan wahana, iaitu dalam bentuk persepakatan yang sudah terjalin kukuh, khususnya di Pahang, antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).    

Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

   “Alhamdulillah, melalui persepakatan ini, kita berjaya merintis kemenangan bergaya di Cameron Highlands, yang kemudiannya, mencetus beberapa siri kemenangan lain, termasuklah di PRK (Pilihan Raya Kcil) Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim.

  “Kami gembira, kerana kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bermula di bumi Pahang… walaupun UMNO lahir di Johor, namun kembali subur  di Pahang,” katanya.

  Beliau berkata, UMNO Pahang kini memberi tumpuan untuk terus bergerak ke hadapan dengan matlamat menjayakan gerakan tersusun lagi rapi, bagi kelangsungan penguasaan demi agama, bangsa dan tanah air. 

  “UMNO Pahang berpendirian, sekiranya kerjasama UMNO dan PAS ini kita teruskan hingga ke PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, Insya-Allah, bukan sahaja Pahang mampu kita pertahankan, tetapi Putrajaya akan menjadi milik kita.

  “Bagi kami, persepakatan dalam MN satu-satunya wadah dan wahana yang sewajibnya, menjadi obor perjuangan serta ramuan utama dalam menentukan kejayaan gemilang kita, pada PRU ke-15 kelak,” katanya.

  Tambahnya, kerjasama erat dalam MN di Pahang yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dengan disokong parti bukan Melayu-Islam dalam BN harus diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh PRU ke-15. 

  “Di Pahang, pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) telah cuba untuk mengadu-domba antara kami, namun mereka tidak berjaya. 

  “Sebagai contoh, apabila pihak Kerajaan Negeri Pahang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dilantik tanpa melalui proses pilihanraya, seperti yang dijangka, ia mendapat tentangan hebat daripada ADUN dari PH.

  “Namun, Alhamdulillah, kelapan-lapan ADUN PAS  menyokong RUU berkenaan, sekali gus membolehkan kita memperoleh sokongan majoriti dua pertiga, untuk ia diluluskan,” katanya.

  Menurutnya, UMNO Pahang bersetuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk bekerjasama dengan PPBM hanya sehingga PRU Ke-15 sahaja, lebih-lebih lagi parti itu dilihat tidak ikhlas untuk bekerjasama.

  “Kebelakangan ini timbul isu hangat berkaitan pembahagian kerusi. Contohnya, ada seorang pemimpin mereka, membuat kenyataan mereka (PPBM) akan meletakkan calon bertanding di lima  kawasan Parlimen di Pahang.

  “Siapa mereka nak tentukan agihan kerusi di Pahang? Kerusi mereka pun tiada di Pahang DUN tiada, Parlimen pun tiada. Malah, mereka tidak berunding terlebih dahulu dengan UMNO yang juga parti memerintah Pahang ketika ini,” katanya.

  Katanya lagi, beliau juga mempunyai bukti kukuh mengenai usaha PPBM cuba memujuk dan memikat Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor untuk menyertai mereka. 

  “Namun usaha itu gagal, kerana Ahli Parlimen Cameron Highlands ternyata seorang yang sangat setia kepada parti. Saya nak bagi tahu kepada Bersatu (PPBM), tindak tanduk sedemikian tidak ‘gentleman’ (budiman), adalah lebih baik jika parlimen dibubarkan segera. 

  “Sudah lah tidak ikhlas, main kotor pula tu! Kena ingat, kerajaan kita adalah kerajaan demokrasi, dari rakyat untuk rakyat, oleh rakyat. Adalah wajar, mandat dipulangkan segera kepada rakyat demi kestabilan negara yang kita cintai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *