‘Ingat azab selepas mati’

‘Ingat azab selepas mati’

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Papan tanda tertulis ‘Ingat Azab Selepas Mati’ diharap dapat memberi kesedaran di kalangan individu yang cuba melakukan maksiat di kawasan Lorong Pasar Kuantan, di sini.

  Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, dua unit papan tanda peringatan berwarna kuning disediakan pihaknya, baru-baru ini.

  Menurutnya, tujuan utama papan tanda peringatan atau  amaran itu didirikan di kawasan berkenaan sebagai satu cara untuk menyedarkan individu yang cuba melakukan perbuatan maksiat di lokasi panas itu.

  Katanya, harapan MBK dengan adanya papan tanda berkenaan aktiviti maksiat yang banyak berlaku di situ dapat dikurangkan secara berperingkat.

  “Kita ingin memastikan imej kawasan Pasar Kuantan yang terkenal dengan panggilan lorong ‘kunyit’ sejak sekian lama, satu hari nanti bebas daripada  sebarang aktiviti maksiat.

  “Apabila tiada pelanggan berkunjung ke kawasan itu, bermakna ia akan menutup terus pintu buat golongan yang menawarkan aktiviti maksiat di situ,” katanya.

  Beliau berkata, papan tanda peringatan itu bukan sahaja amaran kepada pelaku tetapi juga golongan yang menawarkan perkhidmatan maksiat.

  Norkamawati menambah, MBK akan menambah lagi papan tanda seumpama itu di kawasan yang dikenal pasti menjadi sarang maksiat di daerah ini.

  “MBK berharap satu hari nanti bandar raya Kuantan dapat bebas daripada aktiviti maksiat walaupun tidak mencapai 100 peratus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *