KUIPSAS kini diiktiraf bertaraf universiti

KUIPSAS kini diiktiraf bertaraf universiti

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) diiktiraf sebagai sebuah universiti oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail berkata,

penganugerahan taraf sebagai universiti penuh itu diharap akan meningkatkan lagi hasil penyelidikan dan kualiti graduan sehingga universiti itu menjadi institusi pengajian tinggi yang ulung.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerima sijil kelulusan Kuipsas sebagai universiti disampaikan Datuk SeriĀ  Dr Noraini Ahmad dalam satu majlis di Putrajaya pada Isnin. – FB Wan Rosdy Wan Ismail

  Menurutnya, universiti itu bukan sahaja terkenal di Pahang tetapi di peringkat antarabangsa.

  “Alhamdulilah, sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh warga KUIPSAS kerana diiktiraf sebagai sebuah universiti oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

  “Penubuhan KUIPSAS yang bermula pada tanggal 27 Ogos 1996 sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) merupakan satu lakaran kejayaan yang harus diingati oleh seluruh anak Pahang Darul Makmur,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

 Beliau berkata, sepanjang penubuhan, KUIPSAS telah melahirkan graduan dalam pelbagai bidang dan merupakan antara aset terpenting pembangunan modal insan di negeri ini.

  Katanya, pendekatan KUIPSAS yang mengintegrasikan pembangunan ukhrawi dan kemahiran berteraskan industri merupakan ciri unik yang harus dikekalkan dan diperkasakan demi masa hadapan generasi akan datang.

  “Semoga KUIPSAS akan terus maju dan berdaya saing, demi mendidik anak bangsa, khususnya bagi meningkatkan keupayaan dan kemakmuran negeri Pahang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *