Bizzakat bantu usahawan, peniaga Islam di Pahang tingkat ekonomi

Bizzakat bantu usahawan, peniaga Islam di Pahang tingkat ekonomi

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini melancarkan portal Bizzakat yang dikendalikan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

  Dalam ucapan perasmian, Wan Rosdy berkata, portal itu diwujudkan dalam usaha membantu merancak dan meningkatkan lagi ekonomi di kalangan masyarakat Islam, khususnya peniaga di Pahang.

  Katanya, usaha yang dilakukan oleh PKZ sangat bertepatan pada masanya dengan menyediakan satu platform kepada peniaga Islam untuk mempromosikan perniagaan masing-masing dengan menggunakan teknologi semasa.

  “Bizzakat bukan sahaja direktori secara dalam talian tetapi mempunyai keunikan yang tersendiri dalam perniagaan barangan dan perkhidmatan.

  “Kepelbagaian barangan yang ditawarkan adalah satu kelebihan yang membuatkan Bizzakat mempunyai kekuatan tersendiri dalam membantu meningkatkan perniagaan,” katanya pada majlis pelancaran portal Bizzakat menerusi sidang video di sini, hari ini.

  Sementara itu, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Dato’ Halidan Md Daud berkata, setakat ini, seramai 2,584 ahli sudah berdaftar dengan Bizzakat.

  Katanya, keahlian Bizzakat dijangka bertambah sehingga 1,000 orang dalam tempoh terdekat berdasarkan sesi promosi dan penerangan berkaitan kelebihan berdaftar melalui portal itu.

  “Ahli Bizzakat kini berada di setiap daerah di Pahang yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti peruncitan, ternakan, tanaman dan perkhidmatan.

  “Portal ini juga memastikan usahawan yang membayar zakat dapat terus menjalankan perniagaan masing-masing dan PKZ mengambil inisiatif mencari jalan supaya perniagaan mereka menjadi lebih maju dan mendapat lebih banyak keuntungan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *