Cubaan empat lelaki pindah kayu merbau di hutan Taman Negara gagal

Cubaan empat lelaki pindah kayu merbau di hutan Taman Negara gagal

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: Hasrat empat lelaki meraih pendapatan tambahan secara salah dengan menghasilkan kayu bergergaji tanpa lesen dalam hutan tanah kerajaan di mukim Ulu Tembeling, di sini, tidak berhasil apabila mereka terlebih dahulu diberkas, kelmarin.

Sebahagian kayu bergergaji spesies merbau yang dihasilkan tanpa lesen dalam hutan tanah kerajaan di mukim Hulu Tembeling.

  Keempat-empat lelaki berumur antara 27 hingga 58 tahun itu merupakan penduduk Ulu Tembeling, di sini, ditahan ketika melakukan aktiviti menghasilkan kayu bergergaji di kawasan Jalan Kampung Samas-Kampung Kuala Sat menghala ke Kampung Mat Daling, di sini.

  Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, kegiatan berkenaan terbongkar selepas rondaan dilakukan di kawasan terbabit dan menemui empat lelaki terbabit yang sedang menghasilkan kayu bergergaji.

  Menurutnya, soal siasat dilakukan mendapati kegiatan berkenaan dilakukan tanpa kebenaran atau permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), sekali gus mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

  Katanya, pemeriksaan dalam kawasan hutan menemui enam tunggul pokok spesies merbau yang dipercayai ditebang empat lelaki terbabit bagi menghasilkan kayu bergergaji pelbagai saiz.

  “Bersama kumpulan itu kita menemui dua kenderaan pacuan empat roda, mesin memotong kayu berantai dan sebuah lori yang digunakan mereka untuk masuk ke dalam kawasan hutan memindahkan kayu bergergaji dan semua kenderaan berkenaan disita.

  “Permintaan tinggi dan harga yang memuaskan terhadap kayu bergergaji spesies merbau menjadi faktor utama kegiatan mencuri kayu berlaku di daerah ini,” katanya, di sini, hari ini.

  Beliau menambah, pihaknya memandang serius kegiatan menceroboh hutan kerajaan terutama zon penampan Taman Negara bagi tujuan menebang pokok dan tindakan tegas menanti pihak terbabit.

  Mohd Zarin berkata, kayu bergergaji spesies merbau mendapat permintaan tinggi untuk kegunaan membuat lantai dan dinding rumah, tiang pagar, termasuk binaan kolam ternakan ikan.

 “Kumpulan empat lelaki terbabit mendakwa kayu bergergaji yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri bukan untuk dijual.

  “Lelaki terbabit turut mendakwa mereka terpaksa melakukan kerja berkenaan bagi menampung perbelanjaan keluarga terutama selepas tidak dapat menoreh getah dan turun ke sungai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *