Cameron Highlands perlu jalan baharu elak kesesakan

Cameron Highlands perlu jalan baharu elak kesesakan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

CAMERON HIGHLANDS: Kajian

pembinaan jalan pintasan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat pelancongan tanah tinggi Cameron Highlands mengambil masa selama 13 bulan dan hasilnya akan dibentangkan September ini.

  Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, kajian membabitkan kawasan laluan dan jarak, kos pembinaan serta beberapa aspek lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman (tengah) meninjau 11 tapak cadangan laluan bagi Kajian Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands.

  Katanya, kajian menyeluruh yang mengambil masa lebih setahun itu akan dibentang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum sebarang keputusan dibuat.

  Menurutnya, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh JKR namun sebelum itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dan pusat bagi kelulusan untuk dimuktamadkan  berkaitan tanah.

  “Setakat ini pihak perunding telah mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif namun semua laluan berkenaan masih di peringkat perbincangan membabitkan pelbagai perkara.

  “Bagi laluan alternatif ia akan membabitkan laluan sedia ada, namun akan dinaik taraf dengan membesarkanya selain  

menyediakan jalan pintasan di kawasan tertentu.

  “Bagaimanapun, tiga laluan yang dicadangkan itu masih boleh diubah, mungkin sebahagian laluan A, kita akan guna separuh sebelum diteruskan ke laluan B. Ini  mengikut kesesuaian dan hasil kajian yang dijalankan,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke 11 tapak cadangan laluan bagi Kajian Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands, di sini.

Kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands berlaku berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

  Beliau menambah, kerajaan berharap projek ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di kawasan pelancongan selain dapat diselesaikan dengan segera mengikut jadual.

  Norolazali berkata, pembinaan laluan jalan pintasan di Cameron Highlands ini diharap 

dapat dilakukan dengan sebaik mungkin seterusnya meminimumkan impak terhadap alam sekitar, justeru semua pihak diharap dapat memberi kerjasama yang terbaik demi manfaat kita bersama.

  “Saya difahamkan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands berlaku sejak beberapa tahun lalu berikutan bertambahnya jumlah pelancong ke pusat peranginan tanah tinggi itu.

  “Kenderaan akan bertambah dua hingga tiga kali ganda pada hujung minggu dan cuti persekolahan, faktor berkenaan menyebabkan pelancong tidak selesa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *