Kilang padi canggih bantu tambah hasil pendapatan pesawah di Rompin

Kilang padi canggih bantu tambah hasil pendapatan pesawah di Rompin

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

ROMPIN: Kilang Padi Iktikaf Sepadu Sdn Bhd, kilang padi antara termoden di negara ini, bakal membawa nilai tambah yang menguntungkan kepada pesawah di daerah ini, kata Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail.

  Menteri Besar berkata, kilang berkenaan dapat memberikan pilihan kepada pesawah untuk menjual hasil tuaian mereka kepada kilang berkenaan atau kilang milik Syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).

  “Malah padi mereka boleh dibeli, dipasarkan secepat mungkin dan mereka juga mungkin akan dapat harga lebih baik. Sebelum ini untuk jual padi terpaksa beratur di luar, mengambil masa lama untuk dapat dijual sebab cuma ada kilang BERNAS Rompin sahaja. 

  “Sekarang mereka boleh jual di kilang yang sangat besar ini, yang boleh beli padi sehingga 100 tan metrik sehari dan antara kilang termoden,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Kilang Padi Iktiraf Sepadu Sdn Bhd di Leban Chondong, di sini, hari ini.

  Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram; Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hassan Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir Razali Kasim dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy menyarankan pesawah di daerah ini supaya menggunakan benih padi berkualiti tinggi termasuk Nuklear NMR 152 yang dibangunkan Agensi Nuklear Malaysia.

  “Benih padi ini mampu menghasilkan sehingga lapan tan metrik beras sehektar berbanding sekitar empat tan (metrik) sehektar jika guna benih padi biasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *