MBK perketat SOP di 30 lokasi bazar Ramadan di Kuantan

MBK perketat SOP di 30 lokasi bazar Ramadan di Kuantan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Bagi menyekat penularan wabak pandemik COVID-19, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di 30 lokasi bazar Ramadan tahun ini.

  Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin, berkata SOP itu berdasarkan norma baharu untuk memastikan tidak berlaku kes COVID-19 di bazar Ramadan.

  Sehubungan itu, katanya, peniaga bazar Ramadan diminta mematuhi segala syarat yang ditetapkan terutama daripada segi pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan penjarakan fizikal.

  “Selain itu, faktor kebersihan juga perlu diberi penekanan untuk memastikan makanan dan minuman yang dijual bersih dan selamat.

  “Jika ada peniaga yang gagal patuh SOP, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya kepada media selepas Program Prihatin MBK bersama Komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini hari ini.

  Turut hadir, Setiausaha MBK, Dato’ Hamiza Hamzah dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) , Nurulatiq Ahmad Bandi.

  Pada program berkenaan, MBK dengan kerjasama PSJKM menyampaikan mesin jahit kepada lima penduduk PPRS Pinggiran Putra.

  MBK turut menyampaikan bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

  Mengulas penyerahan mesin jahit, beliau berkata lima penerima itu adalah daripada kumpulan B40 dan ibu tunggal yang dipilih berdasarkan semangat dan berusaha menambah pendapatan.

  Katanya, semua penerima diharap dapat memanfaatkan mesin jahit itu dengan sebaik mungkin.

  “Saya harap mereka dapat menguasai kemahiran jahitan kreatif bukan sahaja menambah sumber pendapatan, malah menjadi contoh kepada masyarakat.

  “Bagi pihak MBK, saya berterima kasih kepada PSJKM yang sudi memberi mesin jahit kepada lima penduduk PPRS Pinggiran Putra,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *