Pakatan strategik tubuh kolej kemahiran bantu anak peneroka FELDA jadi usahawan

Pakatan strategik tubuh kolej kemahiran bantu anak peneroka FELDA jadi usahawan

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Pertubuhan Kami Anak FELDA Malaysia (KAF) iaitu badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan FELDA, mengadakan pakatan strategik dengan pusat bertauliah Hani D Unggul Sdn Bhd untuk mewujudkan Kolej Kemahiran HDUSB-KOPSK di FELDA Sungai Kemahal, dekat sini, bagi membantu anak-anak peneroka menceburi bidang berimpak tinggi sekali gus memudahkan mereka menjadi usahawan.

  Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program latihan itu adalah yang pertama dilaksanakan di FELDA dan untuk permulaan, kolej berkenaan mengambil pelajar terdiri daripada masyarakat FELDA Sungai Kemahal.

TEMERLOH 31 MAC 2021. Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Idris Jusoh (belakang tiga dari kiri) bergambar bersama Perantis 2020 Kolej Kemahiran HDUSB-KOPSK pada Majlis Penyampaian Sijil dan Elaun Perantis 2020 di Rest House Temerloh. Hadir sama Naib Pengerusi  KAF Wilayah Mempaga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hani D Unggul Sdn Bhd, Mohamad Fairus Mohamad Talha (belakang kiri). FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Ini adalah projek perintis di FELDA yang mana untuk pengambilan pertama, seramai 15 pelajar berusia 16 hingga 45 tahun untuk dilatih selama enam bulan. Malah, kita juga beri elaun kepada pelajar-pelajar ini.

  “Mereka bukan sahaja diberi latihan kemahiran, malah diajar cara pengurusan sekali gus membolehkan mereka bersedia untuk menjadi usahawan sebaik tamat latihan,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Elaun Kolej Kemahiran HDUSB-KOPSK di sini, semalam.

TEMERLOH 31 MAC 2021. Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Idris Jusoh (kanan) menandatangani plak Kolej Kemahiran HDUSB-KOPSK pada Majlis Penyampaian Sijil dan Elaun Perantis 2020 di Rest House Temerloh. Hadir sama Naib Pengerusi KAF Wilayah Mempaga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hani D Unggul Sdn Bhd, Mohamad Fairus Mohamad Talha. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Tambahnya, pada masa akan datang, beliau berharap program berkenaan dapat dikembangkan di kawasan penempatan FELDA lain di negara ini.

  “Kita memberi sokongan selepas tamat kursus, malah kursus ditawarkan juga ialah bidang yang mendapat permintaan tinggi.  

  “Selain itu, kita mengharapkan lebih banyak lagi program seumpama ini diwujudkan dalam FELDA,” katanya.

TEMERLOH 31 MAC 2021. Sidang media Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Idris Jusoh (kanan) pada Majlis Penyampaian Sijil dan Elaun Perantis 2020 di Rest House Temerloh. Hadir sama Naib Pengerusi  KAF Wilayah Mempaga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hani D Unggul Sdn Bhd, Mohamad Fairus Mohamad Talha. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Sementara itu, Naib Pengerusi KAF Wilayah Mempaga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hani D Unggul Sdn Bhd, Mohamad Fairus Mohamad Talhah berkata, pihaknya mengambil inisiatif mewujudkan kolej berkenaan selepas menyedari beberapa kekangan untuk anak peneroka FELDA keluar dari kampung halaman masing-masing.  

  Menurutnya, pihaknya mendapati terdapat kekangan untuk mereka keluar dari FELDA bagi menyambung pelajaran atau mengikuti kursus kemahiran di tempat berjauhan daripada keluarga.

  “Antaranya ada yang perlu menjaga ibu bapa yang sudah berusia atau ibu bapa bimbang anak mereka terjebak dengan gejala sosial jika mengikuti kursus kemahiran atau pelajaran di tempat lain.

  “Selepas menyedari kekangan ini, kami ambil keputusan datang sendiri kepada mereka, maka wujudlah Kolej Kemahiran HDUSB-KOPSK,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *