FELCRA agih dividen RM105.6 juta kepada peserta tanah rancangannya di Pahang

FELCRA agih dividen RM105.6 juta kepada peserta tanah rancangannya di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

PEKAN: FELCRA Bhd sudah mengagihkan dividen sebanyak RM105.6 juta kepada peserta tanah rancangannya di Wilayah Pahang sejak 2018 hingga tahun lalu.

  Pengurus Besar FELCRA Bhd Wilayah Pahang, Nor Zahari Zakaria berkata, mengikut pecahan, dividen sebanyak RM20.4 juta diagihkan pada 2018, RM36.4 juta (2019) dan RM48.7 juta lagi pada 2020.

  “Secara umumnya, FELCRA Bhd sudah memajukan tanah seluas 53,530.37 hektar di seluruh Pahang, yang merangkumi lima kategori pembangunan tanah iaitu Akta Penempatan Berkelompok (GSA), Rancangan Tanah Kelompok (RTK), Milikan, Rancangan Orang Asli (ROA) dan Ladang Sejahtera.

  “Ia membabitkan 29,430 hektar bagi GSA, RTK (15,648 hektar), Milikan (4,636.62 hektar), ROA (890 hektar) dan Ladang Sejahtera (923 hektar),” katanya.

  Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

  Majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff. 

  Seramai 470 daripada 643 peserta FELCRA menerima suratan hak milik mereka pada majlis hari ini, manakala bakinya akan menerima suratan hak milik masing-masing secara berperingkat.

  Mereka terdiri daripada peserta dari RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput manakala baki peserta yang lain akan menerima suratan hak milik pada 10 April ini yang dijadualkan disampaikan oleh bekas Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *