Sebanyak 12.8 juta benih ikan dan udang dilepaskan dalam sungai di Pahang

Sebanyak 12.8 juta benih ikan dan udang dilepaskan dalam sungai di Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Sebanyak 12.8 juta benih pelbagai spesies ikan dan udang galah dilepaskan ke perairan umum negeri ini dalam tempoh 10 tahun sejak 2010.

  Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, aktiviti pelepasan benih dilakukan sepanjang tahun membabitkan beberapa sungai utama termasuk tasik di negeri ini dalam usaha menambah sumber perikanan.

  Katanya, jabatan berharap golongan nelayan darat dan masyarakat setempat serta peminat aktiviti memancing mendapat manfaat daripada program pelepasan benih ikan dan udang galah yang dilakukan.

  “Kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat

dilakukan dalam menjayakan aktiviti pelepasan benih ikan dan udang galah yang turut akan menjadi produk pelancongan di kawasan terbabit.

  “Jabatan sentiasa berusaha menambah sumber perikanan di beberapa sungai utama seperti Sungai Pahang, Sungai Rompin dan Sungai Jelai yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar dan udang galah,” katanya.

   Beliau berkata demikian pada program pelepasan 43,000 benih ikan dan udang galah bagi memperkayakan biodiversiti sungai bandar raya Kuantan yang dirasmikan Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin, di sini, semalam.

  Abdullah berkata, pihaknya melepaskan sebanyak 3,000 benih ikan siakap dan 40,000 benih udang galah di beberapa lokasi sepanjang Sungai Kuantan termasuk di hadapan Menara Kuantan 188.

  Katanya, program pelepasan benih udang dan ikan di Sungai Kuantan dilakukan setiap tahun, namun kali ini lebih 100 induk udang galah dewasa dilepaskan.

  “Bagi memastikan sumber perikanan di negeri ini terus kekal, kerjasama masyarakat dan pemancing diperlukan dengan melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya terdapat kegiatan meracun tuba, bahan letupan dan elektrik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *