Utamakan pemain dan pekerja industri pelancongan untuk dapatkan suntikan vaksin COVID-19

Utamakan pemain dan pekerja industri pelancongan untuk dapatkan suntikan vaksin COVID-19

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Pemain dan pekerja industri pelancongan wajar dipertimbang untuk disenaraikan sebagai petugas barisan hadapan.

  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Komoditi negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sehubungan itu, golongan terbabit harus diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

  “Apabila sudah dapat (suntikan) vaksin, pelancong bertambah yakin untuk mendapatkan perkhidmatan ditawarkan. Kita harus ingat, industri ini (pelancongan) adalah penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara.

  “Sebab itu mereka juga wajar diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin COVID-19, maknanya selepas petugas barisan hadapan yang lain seperti polis, tentera dan petugas kesihatan, pekerja sektor pelancongan perlu diberikan suntikan (vaksin) COVID-19,” katanya.

  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pemadanan Perniagaan Antara Pemain Industri Pelancongan di perkarangan Menara Kuantan 188, di sini, malam tadi.

  Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar dan turut disertai kira-kira 100 pengusaha hotel, inap desa dan agensi pelancongan dari dalam dan luar Pahang. 

  Mengulas lanjut, Sharkar turut mencadangkan supaya setiap kawasan dan tempat yang sudah disanitasi, diletakkan stiker bebas COVID-19 untuk menambah keyakinan pelancong mengunjungi tempat itu.

  “Kita boleh letakkan ‘signage’ atau stiker 100 peratus bebas COVID-19 untuk meyakinkan atau menggalakkan orang ramai mengunjungi tempat itu,” katanya.  

  Mengulas mengenai sektor pelancongan di Pahang, beliau berkata, kerajaan negeri optimis negeri ini terus menjadi pilihan utama pelancong domestik.

  “Keputusan kerajaan (Persekutuan) membenarkan pergerakan melalui inisiatif gelembung pelancongan pertengahan bulan lalu dijangka memberi kelebihan kepada negeri ini yang mempunyai pelbagai produk dan destinasi menarik.

  “Meskipun pergerakan merentas negeri masih memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa, kebenaran bersyarat diumumkan kerajaan sebelum ini dilihat membuka ruang kepada pemain industri pelancongan di Pahang bernafas semula,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *