Tiga premis membeli buah sawit tipu pekebun

Tiga premis membeli buah sawit tipu pekebun

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

ROMPIN: Kegiatan tiga premis membeli buah sawit mengubah suai alat penimbang kenderaan yang digunakan terbongkar dalam serbuan menerusi operasi bersepadu.

  Aktiviti itu terbongkar selepas Operasi Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rompin dan Kuantan bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wilayah Utara (MPOB) dan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) serta 

Cyber Security, semalam.

  Ketua Cawangan KPDNHEP Rompin, Raja Azwan Shah Raja Ahmad berkata, operasi bersepadu selama dua hari itu memeriksa 10 premis

yang menggunakan alat timbang kenderaan di pusat pengumpulan buah sawit di daerah ini.

Pegawai KPDNHEP Rompin memeriksa alat penimbang kenderaan premis membeli buah sawit pada operasi bersepadu yang diadakan.

  Katanya, pihaknya mengadakan operasi selepas mendapat aduan awam yang mengesyaki terdapat beberapa premis pengumpulan buah sawit menggunakan alat timbang kenderaan secara tipu dengan memanipulasi sistem timbangan bagi mengurangkan berat.

  Menurutnya, dua kesalahan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Timbang dan Sukat 1972, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

  “Satu kes disiasat di bawah Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Timbang Dan Sukat 1981, pembaik tidak mengeluarkan suatu perakuan pembaikan iaitu Borang E dan kesalahan boleh di kompaun sehingga RM12,500 bagi perseorangan dan sehingga RM25,000 bagi syarikat.

  “Kita memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab premis yang bertindak mengubah suai alat

timbang kenderaan di pusat pengumpulan buah sawit semata-mata inginkan keuntungan secara salah,” katanya di sini, semalam.

  Beliau menambah, pada ops bersepadu itu MPOB turut mengenakan dua kompaun di bawah Peraturan 21(2) Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998, membeli atau menerima buah kelapa sawit muda.

  Raja Azwan Shah berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut menyita pelbagai peralatan seperti komputer dan mesun cetak bernilai lebih RM5,500.

 Tambahnya lagi, kegiatan mengubah suai alat

timbang kenderaan di pusat pengumpulan buah sawit menyebabkan kerugian ditanggung oleh pekebun yang mengusahakan kebun.

  Katanya, KPDNHEP Rompin memandang serius premis yang bertindak mengubah suai alat penimbang  kenderaan bertujuan mengaut keuntungan dengan cara salah serta menipu.

  “Kegiatan tidak bertanggungjawap itu terus diburu dalam memastikan pekebun dan pemborong kelapa sawit di daerah tidak terus tertipu, pemeriksaan secara berterusan akan dilakukan dengan kerjasama agensi lain.

  “Kita tidak akan berkompromi dengan premis yang terbabit dengan kegiatan mengubah suai alat penimbang  kenderaan, tindakan undang-undang sedia menunggu mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *