Hakisan tebing Sungai Pahang hampir musnahkan rumah penduduk

Hakisan tebing Sungai Pahang hampir musnahkan rumah penduduk

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: “Saya hanya mampu berdoa mengharapkan kejadian hakisan tebing Sungai Pahang tidak terus berlaku yang turut akan mengakibatkan bahagian dapur rumah runtuh,” kata Mohd Ali Abdullah, 63.

  Dia yang menetap di Kampung Temai, di sini berkata, pergerakan tanah mula berlaku selepas kejadian hujan lebat selama tiga hari berturut-turut minggu lalu yang dianggap luar biasa.

Hakisan tebing Sungai Pahang di Kampung Temai, Pekan.

  Menurutnya, kejadian hakisan tebing Sungai Pahang berlaku kira-kira 10 malam, ketika hujan lebat berlaku selama tiga hari berturut-turut sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan di daerah ini.

  “Pada malam kejadian itu saya  dapat dengar akar pokok kelapa putus apabila pergerakan tanah berlaku sebelum secara perlahan-lahan hakisan tebing sungai berlaku sepanjang kira-kira 100 meter.

Mohd Ali Abdullah (kanan) melihat kejadian hakisan tebing Sungai Pahang di Kampung Temai yang hampir meruntuhkan rumahnya.

  “Hakisan kini terlalu hampir dengan bahagian dapur rumah saya dan tanah yang runtuh juga menyebabkan tangki najis bila-bila masa sahaja akan pecah. Lantai mozek bahagian dapur  rumah saja juga kini retak,” katanya.

  Beliau berkata, sejak tujuh tahun menetap di Kampung Temai, ini kejadian pertama berlaku hakisan tebing Sungai Pahang yang serius disebabkan pergerakan tanah selepas hujan yang berlaku hujan lebat selama tuga hari berturut-turut.

  Mohd Ali berkata, hakisan yang berlaku menyebabkan lebih 10 pokok kekabu, kelapa dan kelapa sawit tumbang ke dalam Sungai Pahang, malah ada yang turut menimpa sangkar ikan dan rumah rakit milik penduduk.

  Katanya, semasa kejadian hakisan tebing berlaku minggu lalu, paras air Sungai Pahang normal dan tidak berarus berbanding ketika musim tengkujuh akhir tahun lalu yang menyebabkan banjir di daerah ini.

  “Saya sekeluarga akan membina pondok sementara kira-kira 50 meter dari sungai sebagai persiapan sebarang kemungkinan berlaku. Saya yakin bahagian dapur rumah saya bila-bila masa sahaja akan runtuh ke dalam Sungai Pahang. 

  “Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan yakin ada hikmahnya, saya merayu kerajaan dapat memikirkan cara terbaik mengelak kejadian hakisan tebing sungai terus berlaku.

  “Dengan pendapatan sebagai penternak ikan sangkar saya tidak mungkin dapat membina benteng bagi mengelak hakisan sungai terus berlaku,” kata bapa kepada enam cahayamata itu.

  Beliau berkata, sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melawat kawasan kejadian hakisan bagi melihat kemusnahan yang berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *