Pasukan PHN ‘A’ dan PHD KPM gah muncul juara futsal

Pasukan PHN ‘A’ dan PHD KPM gah muncul juara futsal

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Aksi bersemangat pemain menjadi kelebihan kepada pasukan Pejabat Hutan Negeri (PHN) ‘A’ untuk muncul juara kategori lelaki menewaskan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan/Pekan/Maran (KPM) 3-1 pada Kejohanan Futsal Tertutup Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, di sini.

 Tempat ketiga berpihak pada pasukan PHD Bentong dan keempat, Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh.

  Dalam kategori wanita, johan berpihak pada pasukan PHD KPM yang menewaskan PHN ‘A’ 2-0 dan tempat ketiga PHN B.

Johan kategori lelaki dan wanita Kejohanan Futsal Tertutup Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)

 Sebanyak 12 pasukan lelaki dan wanita menyertai kejohanan pembuka tirai acara sukan tahun ini yang dianjurkan oleh JPNP bertujuan mengeratkan hubungan di kalangan kakitangan selain menggalakkan budaya bersukan.

  Pengerusi penganjur kejohanan, Muhammad Norsyahir Mohd Nordin berkata, kejohanan yang diadakan itu turut bertujuan sebagai pentas pemilihan pemain untuk beraksi di peringkat kebangsaan pada masa akan datang.

Aksi pemain pasukan Pejabat Hutan Negeri (PHN) ‘A’ (kanan) yang bertemu PHD Kuantan/Pekan/Maran pada perlawanan akhir.

  Menurutnya, kejohanan kali ini  dimeriahkan lagi dengan penyertaan pasukan wanita dan pemain beraksi dengan penuh semangat serta bergaya.

  “Kita akan menjadikan kejohanan futsal tertutup JPNP sebagai acara tahunan dengan penyertaan lebih banyak pasukan yang mewakili setiap daerah.

  “Sebelum ini beberapa acara seperti bola tampar, bola sepak dan bola jaring turut diadakan,” katanya yang turut beraksi dengan pasukan PHN ‘A’.

  Ketua pasukan PHN ‘A’, Wan Mohd Amir Asraf Wan Abd Rani 

berkata, semangat tinggi  dipamerkan pemain menjadi faktor utama kejayaan pasukan yang membariskan pemain berpengalaman.

  “Saya berpuas hati dengan kesungguhan pemain sepanjang kejohanan sehingga ke aksi perlawanan akhir yang penuh dramatik.

  “Gandingan pemain muda dan senior ternyata menjadi resepi kejayaan kali ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *