Ribut: Bumbung Sekolah Agama Rakyat Al-Wusto yang rosak diganti segera

Ribut: Bumbung Sekolah Agama Rakyat Al-Wusto yang rosak diganti segera

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

JERANTUT: Demi memastikan keselamatan pelajar dan tenaga pengajar di Sekolah Agama Rakyat Al-Wusto, Pulau Tawar di sini, kerajaan negeri tanpa berlengah memutuskan untuk membaik pulih kerosakan dengan menggantikan bumbung sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (kanan)  bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang., Dato’ Haji Nazri Ngah meninjau Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Al Wusto, Felda Sungai Tekam, Jerantut yang bumbung rosak akibat dilanda ribut Jumaat lalu.

  Ini susulan kerosakan teruk bumbung sekolah berkenaan akibat dilanda ribut, Jumaat lalu.

  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah berkata, secara dasarnya, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta pihak FELDA, Yayasan Pahang (YP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang bersetuju supaya bumbung sekolah itu diganti dengan yang baharu.

  “Kita dititahkan Pemangku Raja Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah) bagi memastikan keselamatan pelajar diutamakan dan sehubungan itu, selepas berbincang dengan FELDA serta JKR, bersetuju untuk bina baru bumbung sekolah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (dua dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang., Dato’ Haji Nazri Ngah (kiri) meninjau Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Al Wusto, Felda Sungai Tekam, Jerantut yang bumbung rosak akibat dilanda ribut Jumaat lalu.

  “Dana bagi pembinaan ini akan ditanggung kerajaan negeri, FELDA, YP dan JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang),” katanya kepada Fikrah Pahang dalam lawatan bagi meninjau kerosakan bumbung di sekolah berkenaan, hari ini.

  Turut sama dalam tinjauan itu, Syed Ibrahim dan Kadi Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad.

  Mengulas lanjut, Nazri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang berkata, perkara itu akan dibawa ke pengetahuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang dalam mesyuarat Exco akan datang.

  “Bagaimanapun, kos bagi membina bumbung baharu hanya akan diketahui selepas pihak penilaian dilakukan pihak FELDA dan JKR negeri,” katanya.

  Sementara itu, Syarifuddin berkata, langkah diputuskan itu ternyata memberi kelegaan kepada banyak pihak khususnya tenaga pengajar dan pelajar sekolah berkenaan.

  “Keputusan menggantikan bumbung yang rosak dapat memastikan anak-anak pelajar di sekolah ini belajar dengan lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *