Alhamdulillah, dah boleh tarawih berjemaah

Alhamdulillah, dah boleh tarawih berjemaah

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Solat tarawih berjemaah dan aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan di negeri ini dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, namun perlu ditamatkan pada jam 10 malam.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tempoh ibadah itu bermula dengan solat Isyak berjemaah seterusnya solat sunat tarawih, witir, wirid, tahlil dan doa serta hanya dibenarkan hadir solat sunat tarawih di masjid atau surau di lokasi masing-masing sahaja.

  Katanya, jumlah jemaah dibenarkan berdasarkan kapasiti ruang solat yang disediakan dengan kawalan pihak pengurusan masjid dan surau bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

  “Antara aktiviti yang tidak dibenarkan ialah menjemput imam dari luar Pahang termasuk dari pondok dan maahad tahfiz, penyertaan pelajar dari sekolah berasrama, jemaah di bawah umur tujuh tahun serta tazkirah tarawih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

  Wan Rosdy berkata, bagi aktiviti khas sempena Ramadan iaitu tazkirah selepas Zohor dan sebelum solat Jumaat adalah dibenarkan selama tempoh 15 minit sahaja.

  “Selain itu aktiviti seperti qiamulail, majlis tadarus dan khatam al-Quran, kaunter zakat fitrah, iftar dan moreh dibenarkan dengan SOP ditetapkan,” katanya.

  Menurutnya, pemantauan pihak berkuasa akan dilakukan pada bila-bila masa bagi memastikan jemaah mematuhi SOP ditetapkan.

  “Mana-mana masjid dan surau yang didapati gagal mematuhi SOP, contohnya jumlah jemaah melebihi kapasiti dibenarkan, aktiviti yang dilakukan di luar waktu aktiviti dibenarkan dan juga disahkan berlakunya penularan pandemik COVID-19, maka masjid dan surau terbabit dibatalkan akan kebenaran aktiviti sepanjang Ramadan ini.

  “Kita harap SOP diumumkan ini dapat dipatuhi sepenuhnya supaya umat Islam di seluruh Pahang dapat menunaikan ibadah sepanjang Ramadan ini dalam suasana yang baik dan dalam masa yang sama dapat membantu membendung penularan pandemik berkenaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *