Ceroboh hutan simpan tanam Musang King dan Duri Hitam

Ceroboh hutan simpan tanam Musang King dan Duri Hitam

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

RAUB: Tindakan segera dilakukan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub berjaya menghalang tiga individu daripada terus meneroka  secara haram tanah seluas 16.2 hektar di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini, dengan projek pertanian. 

  Kawasan yang diteroka sejak empat bulan lalu itu diusahakan dengan kira-kira 5,300 tanaman pisang jenis berangan dan sematu selain durian klon Musang King dan Duri Hitam.

  Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, selepas mendapat maklumat pihaknya segera  mengadakan operasi pemusnahan bermula 9 pagi semalam disertai 14 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 Katanya, siasatan mendapati kawasan berkenaan

diteroka dengan tanaman pisang jenis berangan dan sematu berusia empat bulan sementara durian Musang King dan Duri Hitam pula berusia tiga bulan dalam kawasan seluas lebih 16.2 hektar.

  Menurutnya, tindakan tegas memusnahkan pokok dilakukan dan pihaknya turut bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara yang dibina dipercayai tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja ladang berkenaan yang bekerja dengan tiga individu.

  “Semasa operasi dijalankan pihak kami tidak menemui pekerja dalam kawasan ladang berkenaan, dipercayai mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu

sebelum serbuan dilakukan.

  “Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari bergantung kepada keadaan cuaca yang tidak menentu kini,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

  Beliau menambah, usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu  mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 5,300 pokok termasuk pisang (4,000) dan durian Musang King serta Duri Hitam (1,300).

  Shahril berkata, bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan Hutan Simpan Sempam turut menjadi faktor berlaku kelewatan operasi memusnahkan tanaman yang dilakukan secara berterusan.

   Tambahnya lagi, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak ditengah Hutan Simpan Sempam dan mereka seolah-olah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

  “Sebahagian pokok pisang jenis berangan dan sematu sudah mengeluarkan hasil dan ia dipercayai dipasarkan di daerah ini.

  “Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini. Tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

  “Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya yang berharap 

kerjasama semua pihak memberi maklumat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *