Rumah rakyat miskin akan dibaiki, inisiatif baru Kerajaan Pahang susulan keberkesanan program RRP

Rumah rakyat miskin akan dibaiki, inisiatif baru Kerajaan Pahang susulan keberkesanan program RRP

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kejayaan melaksanakan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) bermula tahun lalu, memberi idea kepada Kerajaan Pahang untuk memperkenalkan pula program membaiki rumah rosak milik golongan susah di negeri ini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, segala perincian mengenainya akan diumumkan dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari sekarang.

  “Kita tengah memikirkan mengenai banyak lagi rumah yang perlu dibaiki dan kerajaan negeri sedang membincangkan formula terbaik untuk membantu rakyat daripada golongan memerlukan yang rumah mereka perlu dibaiki.

  “Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan buat pengumuman untuk kita bantu membaiki rumah yang keadaannya agak teruk tetapi tidak perlu dibina baru, hanya perlu ‘repair’ (baiki) sahaja,” katanya kepada media selepas melancarkan Rumah Rakyat Pahang 2021 di sini, hari ini.

  Hadir sama, barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

  Pada majlis itu, Wan Rosdy menyerahkan surat tawaran kepada 202 penerima RRP terpilih.

  Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan senarai nama mereka yang layak menerusi pelbagai sumber, antaranya ketua kampung, wakil rakyat kawasan dan pejabat daerah.

  “Kita akan hantar (pegawai) pejabat daerah untuk ‘check’ (periksa) sama ada betul ke tidak rumah bakal penerima ini rosak dan bahagian mana yang perlu dibaiki… jika atap bocor, kita tukar atap, kalau dinding rosak kita ganti dinding atau sekiranya lantai merekah, kita tukar lantai. Semuanya berbeza-beza, tapi tak perlu bina rumah baru.

  “Sekarang ini kita tengah cari jalan dan fikirkan cara untuk melaksanakan kaedah terbaik supaya tak bazirkan duit rakyat. Bagaimanapun semua kos dan jumlah rumah belum lagi diputuskan,” katanya.    

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *