Tolonglah, sudah terlalu lama kami tunggu air paip

Tolonglah, sudah terlalu lama kami tunggu air paip

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Sudah lebih 50 tahun kami penduduk Kampung Tebing Tinggi, Balok, di sini menunggu dengan penuh sabar air paip disalurkan ke rumah mereka namun tak kunjung tiba hingga kini.

  “Kehidupan kami di sini seolah dipinggirkan, tanpa bekalan air bersih serta jalan yang sempurna berbanding pendatang kampung lain di daerah ini,” kata warga emas, Ramlah Yaakob, 64.

Penduduk Kampung Tebing Tinggi, Balok, terpaksa menggunakan air bawah tanah yang disedut berikutan tiada bekalan air paip.

  Menurutnya, sebagai antara penduduk lama menetap di Kampung Tebing Tinggi, dia terkilan dengan apa yang berlaku terutama apabila masalah masalah bekalan air paip hingga kini tidak dapat diselesaikan walaupun sudah beberapa kali permohonan dikemukakan kepada pihak berwajib.

  Katanya, penduduk kini tiada tempat untuk mengadu terutama apabila selepas beberapa pemimpin bertukar ganti namun masalah bekalan air tidak dapat diselesaikan.

  “Untuk minum dan memasak penduduk terpaksa membeli air mesin penapis setiap dua hingga tiga kali seminggu, kami terpaksa mengeluarkan belanja  antara RM70 hingga RM150 sebulan.

  “Di Kampung Tebing Tinggi terdapat lebih 150 penduduk yang terpaksa menelan kesusahan dihadapi tanpa sebarang pembelaan,” katanya.

  Beliau berkata, kali terakhir penduduk membuat permohonan untuk mendapatkan bekalan air paip daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) lebih tiga tahun lalu namun tiada sebarang jawapan.

  Ramlah berkata, penduduk amat terkilan dengan apa yang berlaku kerana bekalan air paip merupakan kemudahan asas yang sebelum ini diberi perhatian utama oleh kerajaan.

  Bagi Rozi Sulong, 50, untuk mandi dan membasuh pakaian, penduduk terpaksa menggunakan air perigi dan sumber air bawah tanah namun kualitinya kurang memuaskan.

  “Selain berbau tanah, air berkenaan juga masam serta kelat dan tidak boleh di minum. Nasi akan bertukar warna sekiranya digunakan untuk memasak.

  “Kedudukan Kampung Tebing Tinggi dalam kawasan paya bakau menjadi faktor utama sumber air bawah tanah tidak sesuai digunakan,” katanya.

  Bagi pihak penduduk, dia merayu pada pihak berwajib agar membantu untuk mendapatkan bekalan air paip termasuk jalan dan penduduk sudah tidak sanggup lagi berhadapan masalah sejak sekian lama.

  Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, pihaknya membawa masalah bekalan air paip di Kampung Tebing Tinggi kepada pihak PAIP empat tahun lalu.

  Menurutnya, pihak PAIP menyatakan projek bekalan air bersih luar bandar ke kampung berkenaan diluluskan tahun lalu dan kerja pemasangan bermula bulan depan.

  “Projek berkenaan dijangka siap September depan dan penantian sekian lama penduduk akan berakhir. Sebanyak 26 projek bekalan air luar bandar di Pahang kini dalam proses pemasangan,” katanya yang berharap penduduk dapat bersabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *