WGC labur RM100 juta bangunkan hab pembangunan sarung tangan getah dan produk pakaian pelindung diri (PPE) di Gebeng

WGC labur RM100 juta bangunkan hab pembangunan sarung tangan getah dan produk pakaian pelindung diri (PPE) di Gebeng

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan World Gloves International Group City & Hub Development Sdn Bhd (WGC) untuk membangunkan hab pembangunan sarung tangan getah dan produk pakaian pelindung diri (PPE) di Gebeng, dekat sini.

  Menerusi perjanjian itu, WGC akan melabur sebanyak RM100 juta di kawasan seluas 317 ekar (128.3 hektar) di Kawasan Perindustrian Gebeng membabitkan pembangunan fasa pertama daripada sembilan fasa keseluruhannya.

  Pembuatan sarung tangan getah dan produk PPE itu menyasarkan pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara.

  Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Mohd Faizal Jaafar berkata, pembinaan bagi fasa pertama itu dijangka bermula Jun ini dan dijadualkan siap menjelang akhir tahun.

  “Pelaburan terbaharu di Kawasan Perindustrian Gebeng ini akan membawa limpahan ekonomi kepada kawasan setempat dan kawasan sekitarnya.

  “Banyak peluang pekerjaan akan tersedia dan dapat menampung kekurangan peluang pekerjaan sedia ada pada ketika ini dan kami sudah memaklumkan kepada WGC supaya mengutamakan pengambilan pekerja daripada kalangan penduduk tempatan apabila beroperasi nanti,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Antara PKNP dan WGC di sini, malam tadi.

  Perjanjian itu ditandatangani Mohd Faizal yang mewakili PKNP dan WGC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Gianluca Ernesti.

  Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail yang menjadi tetamu kehormat.

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman serta Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

  Sejak 1995, PKNP berfungsi sebagai agensi sehenti untuk memudahcara kepada pelabur membina kilang di kawasan perindustrian di Pahang.

  Malah, PKNP juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain Unit Antarabangsa Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang untuk mempromosikan pelaburan di negeri ini terutama di Kawasan Perindustrian Gebeng.

  Untuk rekod, sehingga Disember 2020, sebanyak 657 projek berjumlah RM62.73 bilion diluluskan di Pahang iaitu RM50.4 bilion membabitkan pelaburan luar manakala RM12.33 bilion lagi pelaburan tempatan. 

  Bagi 2020, MITI meluluskan 30 projek di negeri ini dengan jumlah pelaburan berjumlah RM4.78 bilion dan mewujudkan 2,600 peluang pekerjaaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *