FAMA ‘eksport’ strawberi Cameron Highlands ke negeri lain ketika PKP

FAMA ‘eksport’ strawberi Cameron Highlands ke negeri lain ketika PKP

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

CAMERON HIGHLANDS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tampil membantu mempromosikan produk strawberi keluaran pusat pelancongan tanah tinggi Cameron Highlands sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  Timbalan Ketua Pengarahnya, 

Mohamad Mustahapa Awang berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk membantu mempromosikan hasil pertanian berkenaan yang pasarannya kini agak terhad berikutan kekurangan pelancong.

  Menurutnya, antara aktiviti promosi yang dilakukan ialah 

mengatur pasaran secara berterusan ke luar negeri ini seperti di Kelantan, Lembah Klang dan Selangor, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.

  Katanya, FAMA Pahang dengan kerjasama FAMA daerah turut membantu mengadakan promosi jualan di Kuantan dan Jerantut, dan usaha berkenaan dilihat berkesan dalam membantu pekebun strawberi.

  “Kita hanya mampu mengadakan promosi secara berterusan, selebihnya perlu dilakukan pekebun. Sebagai contoh mengadakan aktiviti jualan keluar dari Cameron Highlands.

  “Sebelum ini pasaran strawberi tidak dapat dilakukan sepanjang PKP namun kini selepas kebenaran merentas daerah, aktiviti perniagaan dan pelancongan kembali rancak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

  Beliau berkata, tidak dinafikan pasaran pelbagai hasil pertanian di Cameron Highlands sebelum ini terjejas apabila aktiviti pelancongan di tanah tinggi itu terhenti berikutan PKP.

  Mohamad Mustahapa berkata, untuk pasaran hasil pertanian pekebun juga digalakkan menjual secara dalam talian

menerusi Agrobazaar Online, Facebook Marketplace, Facebook Shop, Whatsapp, YouTube, Instagram dan media soaial lain.

  “Dari semasa ke semasa kita akan mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan dan pekebun dalam usaha membantu golongan terbabit. Pertemuan pertama diadakan pada bulan lalu,” katanya.

  Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, sokongan yang diberikan FAMA berupaya membantu golongan pekebun sayur dan strawberi yang terkesan sepanjang PKP.

  Menurutnya, promosi yang dilakukan FAMA dapat membantu memasarkan buah strawberi segar ke beberapa negeri terutama apabila jualan hasil pertanian tidak dapat dilakukan.

  “Saya mewakili pekebun mengucapkan terima kasih kepada FAMA yang sentiasa memberi perhatian pada kami yang sebelum ini berhadapan masalah pasaran produk pertanian.

  “Selepas kerajaan membenarkan rentas daerah, sektor pelancongan di tanah tinggi Cameron Highlands kini kembali rancak walaupun pelancong terdiri daripada penduduk Pahang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *