Kadar zakat fitrah kekal RM7

Kadar zakat fitrah kekal RM7

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Kadar zakat fitrah tahun ini kekal RM7 sebagaimana yang diperkenan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar bayaran berkenaan kekal sejak 2013.

  Menurutnya, tahun ini kaedah bayaran zakat fitrah melalui amil disediakan apabila seramai 942 amil ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Ahmad Hairi Hussain (dua dari kiri) bersama replika resit zakat fitrah Pahang pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2021 di Pejabat MUIP di Pekan.

  “Kaedah bayaran ini tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara yang digariskan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

  “Bagaimanapun, MUIP menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian melalui platform  ezakat.muip.gov.my dan PahangGo,” katanya.

  Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2021 di Pejabat MUIP, di sini, hari ini.

  Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi b Abd Rahman. 

  Ahmad Hairi menambah, mana-mana pihak yang didapati memungut zakat fitrah tanpa kebenaran MUIP boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

  Katanya, jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  Tambah beliau, bagi membendung penularan pandemik Covid-19 beberapa garis panduan ditetapkan bagi pembayaran melalui amil di kaunter bayaran yang dibuka.

 “Antaranya tiada lafaz akad dan bersalaman, hanya doa ringkas dibenarkan, mengamalkan SOP sedia ada termasuk penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

  “Individu bergejala tidak dibenarkan hadir dan pembayar diminta menyediakan wang secukupnya mengikut jumlah yang perlu dibayar.

  “Kaunter bayaran hanya boleh dibuka di masjid, surau dan tempat dibenarkan manakala bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pembukaan kaunter zakat fitrah tidak dibenarkan,” katanya.

  Ahmad Hairi berkata, untuk rekod, jumlah pembayar zakat di negeri ini pada 2018 seramai 1,024,007 orang dengan jumlah kutipan sebanyak RM6.2 juta.

  “Pada 2019, jumlah pembayar dan jumlah kutipan meningkat kepada 1,040,549 orang (RM6.3 juta) manakala tahun lalu, bilangan pembayar, 1,012,073 (RM6.1 juta).

  “Tahun lalu, pembayaran melalui kaedah dalam talian cukup tinggi iaitu seramai 688,587 orang berbanding melalui amil hanya 323,426 orang ekoran penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *