Permit Bazar Ramadan, Aidilfitri dibatalkan jika langgar SOP

Permit Bazar Ramadan, Aidilfitri dibatalkan jika langgar SOP

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

pic

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tidak teragak-agak membatalkan permit perniagaan bazar Ramadan dan Aidilfitri sekiranya penganjur atau peniaga didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

   Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin berkata, tindakan tegas itu dilaksanakan dalam usaha menyekat penularan kes wabak pandemik COVID-19 membabitkan bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin bergambar bersama penganjur bazar pada Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2021 di Lobi Kompleks MBK, Kuantan.

  Katanya, pada Ramadan tahun ini, sebanyak 30 tapak bazar disediakan MBK kepada 19 penganjur dengan mengenakan syarat lebih ketat terutama daripada segi SOP.

  “SOP itu dilaksanakan untuk memastikan tiada kes COVID-19 berlaku di 30 tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri bermula dari 13 April ini hingga 12 Mei depan.

  “Bagaimanapun, jika ada peniaga, pekerja dan pelanggan positif COVID-19, tapak bazar Ramadan dan Aidifitri akan ditutup selama tiga hari untuk proses sanitasi,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2021 di Lobi Kompleks MBK, di sini, hari ini.

  Pada Ramadan tahun ini, katanya, waktu perniagaan bazar Ramadan dibenarkan dari jam 3 petang hingga 8 malam bermula 13 April hingga 12 Mei depan.

  “Bagi bazar Aidilfitri pula bermula dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dari 17 April hingga 12 Mei depan.

  “Pada tahun ini juga, tiada sebarang kenaikan harga permit perniagaan dikenakan dan kekal sejak 2019 iaitu RM180.50 untuk jualan makanan dan minuman manakala jualan air tebu dan kelapa pada harga RM280.50 dan jualan pelbagai RM300,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *