Tanam 10,000 pokok balak ganti Musang King di Hutan Simpan Sempan yang diceroboh

Tanam 10,000 pokok balak ganti Musang King di Hutan Simpan Sempan yang diceroboh

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic/video Mohd Imran Izzad 

RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub akan menanam lebih 10,000 pelbagai spesies pokok balak dalam kawasan ceroboh di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini.

  Kawasan seluas 16.2 hektar itu diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawap yang mengusahakan tanaman pisang, durian klon jenis Musang King dan Duri Hitam.

Kakitangan PHD Raub menanam pokok keladan dalam kawasan diceroboh di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras.

  Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan program menanam secara berperingkat bermula kelmarin hingga akhir tahun ini, membabitkan sekurang-kurangnya tiga spesies pokok balak yang sesuai di kawasan berbukit itu.

  Menurutnya, fasa pertama penanaman membabitkan lebih 100 pokok spesies keladan sudah dilakukan oleh kakitangan PHD Raub, manakala program menanam seterusnya akan dilakukan selepas Aidilfitri.

Kakitangan PHD Raub memindahkan pokok keladan untuk ditanam dalam kawasan diceroboh Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras.

  Katanya, bekalan anak pokok bagi fasa pertama diterima daripada tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini,  dan spesies lain yang akan ditanam ialah meranti dan merawan serta beberapa spesies lain.

  “Proses memusnahkan pokok pisang, durian klon Musang King dan Duri Hitam masih belum selesai sepenuhnya, berikutan faktor keluasan serta bentuk muka bumi yang berbukit menyebabkan proses berkenaan memakan masa lebih panjang.

  “Kita terpaksa melakukan proses memusnahkan pokok berkenaan secara berperingkat setiap hari. Minggu depan dijangka semua 5,300 pokok pisang (4,000) dan durian klon Musang King serta Duri Hitam (1,300) selesai ditebang,” katanya ketika di hubungi, di sini hari ini.

  Kelmarin, PHD Raub mengesan kegiatan pencerobohan kawasan Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras seluas 16.2 hektar untuk dijadikan kebun pokok pisang dan durian klon Musang King serta Duri Hitam berusia empat bulan.

  Shahril berkata, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam. Mereka seolah-olah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

  Katanya, individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini berhadapan tindakan tegas mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

  Sementara itu tinjauan di kawasan terbabit mendapati, selain menanam pisang dan durian pihak terbabit turut membina kolam ternakan ikan air tawar dan menanam sayur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *