Hormati, bantulah suami: Isteri MB

Hormati, bantulah suami: Isteri MB

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Golongan isteri perlu terus setia berperanan sebagai pembantu kepada suami menguruskan serta melayari bahtera rumah tangga tanpa mengira waktu.

Isteri Menteri Besar Pahang, Datin Sri Burhah Muhammed (empat dari kiri) dan Pengerusi PUSPANITA JPNP, Datin Kalina Kamarulzaman (tiga dari kanan) memotong pulut kuning pada Majlis Makan Malam PUSPANITA Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

  Isteri Menteri Besar Pahang, Datin Sri Burhah Muhammed berkata, kecekapan isteri membantu suami menjadi pencetus kepada kebahagian sebuah rumah tangga yang dibina.

  Menurutnya, kerjasama baik antara isteri dan suami berupaya melahirkan rumah tangga bahagia dan harmoni yang diserikan dengan kehadiran cahayamata tanpa mengira berapa usia perkahwinan.

Isteri Menteri Besar Pahang, Datin Sri Burhah Muhammed (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Makan Malam PUSPANITA Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

  “Tidak kira isteri itu berkerjaya atau sebaliknya, yang penting persefahaman baik antara isteri dan suami mampu membentuk sebuah rumah tangga bahagia hingga ke akhir hayat.

  “Perbincangan secara empat mata perlu diadakan sekiranya berlaku masalah, isteri tidak perlu cepat melatah sekiranya mendapat berita yang kurang menyenangkan. Isteri yang mudah percaya dengan khabar angin mengundang kepada kecelaruan rumah tangga,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di sini.

  Turut hadir, Pengerusi PUSPANITA JPNP, Datin Kalina Kamarulzaman.

  Burhah berkata, isteri perlu sentiasa menghormati suami tanpa mengira waktu dan sebagai ketua keluarga, suami perlu diberi keutamaan dalam semua perkara.

  “Saya berharap golongan isteri  tidak mengabaikan tanggungjawab pada suami serta rumah tangga, sayangilah mahligai yang dibina. Apabila ada masalah ingatlah pada anak-anak dan detik manis ketika awal perkahwinan,” katanya.

  Sementara itu, Kalina berkata, pihaknya akan mengadakan pelbagai program dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara ahli, dengan cara itu sahaja semangat berpersatuan akan terus bercambah.

  “Selain kursus dan bengkel, PUSPANITA JPNP turut mengadakan program lawatan sambil belajar dalam usaha membuka minda di kalangan ahli,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *