Sri Pahang timbang tukar pemain pada jendela perpindahan bulan depan

Sri Pahang timbang tukar pemain pada jendela perpindahan bulan depan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pengurusan Sri Pahang FC sedia menimbang kemungkinan ada perubahan pemain dalam kelab itu sebaik jendela perpindahan dibuka bulan depan.

  Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, pertimbangan itu berdasarkan laporan daripada barisan kejurulatihan.

  Katanya, laporan berkenaan membabitkan prestasi keseluruhan pemain import dan tempatan susulan keputusan kurang memberangsangkan yang dipersembahkan.

  “Sebaik menerima lporan itu, pengurusan Sri Pahang akan membuat keputusan sama ada akan ada pertukaran pemain atau tidak,” katanya.

  Selasa lalu, ketua jurulatih pasukan itu, Dollah Salleh menjelaskan bahawa terpulang kepada pengurusan Sri Pahang sama ada mengekalkan pemain import, khususnya penyerang berikutan prestasi hambar yang dipersembahkan.

  Menurut bekas pemain kebangsaan itu, secara peribadi, beliau mahu menukar pemain terutama bahagian serangan kerana gagal mempamerkan prestasi yang diinginkan.

  “Sebaik jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan depan, saya mengharapkan dapat menukar penyerang yang mampu memberi impak kepada pasukan.

  “Bagaimanapun, segala keputusan terletak kepada pengurusan sama ada akan ada pertukaran pemain terutama tenaga import .

  “Ini kerana penyerang import yang ada ketika ini tidak banyak membantu ketika pasukan mengharapkan khidmat mereka,” kata Dollah.

  Musim ini, Sri Pahang FC menyenaraikan dua penyerang import iaitu Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *