Usah biarkan usahawan luar rampas peluang niaga daripada projek ECRL

Usah biarkan usahawan luar rampas peluang niaga daripada projek ECRL

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Golongan peniaga khususnya anak muda di kawasan jauh dari bandar terutama di Pantai Timur, harus mempersiapkan diri mulai sekarang untuk meningkatkan ilmu keusahawanan supaya mereka lebih berdaya saing.

  Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, langkah itu penting kerana kawasan-kawasan terbabit dijangka berdepan dengan ledakan ekonomi apabila siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Disember 2026 nanti.

  “Walaupun projek ECRL masih mempunyai masa panjang iaitu sekitar empat ke lima tahun untuk disiapkan, usahawan muda harus bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi ledakan ekonomi baharu atau ‘a big game changer’.

  “Tanpa daya usahawan yang tinggi, meskipun peluang perniagaan lebih terbuka tapi pengisiannya nanti orang luar yang ambil, bukan masyarakat setempat di Pantai Timur disebabkan mereka belum bersedia,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf di Felda Bukit Sagu 3, dekat sini, semalam.

  Seramai 14 peserta menyertai program anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang itu.  

  Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, antara langkah yang boleh diambil golongan usahawan terbabit ialah menghasilkan produk unik, contohnya hasil kraf yang menampilkan ciri-ciri setempat.

  “Di kawasan Parlimen Paya Besar ini sendiri banyak sekali produk yang boleh dihasilkan. Contohnya di Sungai Lembing yang kaya dengan produk pelancongan, mungkin boleh buat produk berkaitan lombong bijih timah atau di produk batik dengan motif sagu di Bukit Sagu ini.

  “Itu sebabnya Kementerian Kewangan hari ini turun ke bawah untuk memberi sokongan dan dorongan berasaskan pakej-pakej ekonomi yang sudah dilancarkan supaya ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat pertengahan, malah masyarakat di kampung-kampung yang jauh dari bandar,” katanya.     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *