UMNO Pahang komited laksanakan ‘sifir’ pembahagian kerusi DUN dengan PAS

UMNO Pahang komited laksanakan ‘sifir’ pembahagian kerusi DUN dengan PAS

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

MARAN: UMNO Pahang komited melaksanakan ‘sifir’ yang sudah direncanakan iaitu tidak akan ‘usik’ lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang PAS, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail  ketika menyampaikan ucapan Pelancaran Jentera Muafakat Nasional (MN)  Maran di Dataran Jengka 3, Maran. Gambar Fikrah Pahang Zulkepli Osman

  Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO Pahang berharap kerjasama antara Muafakat Nasional (MN) turut diterjemahkan membabitkan kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

  Katanya, menerusi permuafakatan itu, kelima-lima kerusi Parlimen yang kini disandang pembangkang di negeri ini, akan dapat dirampas dengan mudah.

  “Kalau tuan-tuan tak percaya, tuan-tuan campurlah jumlah undi antara BN (Barisan Nasional) dan PAS, insya-Allah kita boleh rampas lima kerusi (Parlimen) di Bentong, Temerloh, Kuantan, Indera Mahkota dan Raub.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail  bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Yusuf Darus menyaksikan Pemangku YDP PAS Kawasan Maran, Ramly Awang Abdul Rahman menurunkan tandatangan di Pelancaran Jentera Muafakat Nasional  Maran  di Dataran Jengka 3, Maran. Gambar Fikrah Pahang Zulkepli Osman

  “Itupun banyak pengundi yang termakan hasutan pada PRU-14 dulu dan kembali sokong UMNO. Di Cameron Highlands, kalau semua bertanding, DAP yang menang sebab undi mereka ‘solid’ di Tanah Rata, tapi kalau bergabung, kita dapat kekalkan dan ia telah terbukti dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail  (empat dari kiri) bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Yusuf Darus (lima dari kiri) bergambar selepas Pelancaran Jentera Muafakat Nasional (MN) Maran di Dataran Jengka 3, Maran. Gambar Fikrah Pahang Zulkepli Osman

  Beliau berkata demikian dalam ucaptama sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Jentera MN Maran di sini, malam tadi.

  Maran muncul bahagian pertama melancarkan jentera pilihan raya MN di Pahang dan dijangka kawasan lain akan turut berbuat demikian dalam masa terdekat.

  Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus dan barisan kepemimpinan BN serta PAS Pahang.

  Mangulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kedua-dua pihak harus mengambil peluang terbaik itu untuk terus menjalinkan permuafakatan sekali gus mewujudkan kestabilan politik khususnya di negeri ini.

  “Cuma baru-baru inilah, ada kawan kita (merujuk kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah) kata dia nak lima kerusi parlimen di Pahang.

  “Mulanya saya tak jawab sebab tak suka sangat berpolitik, tapi ada kawan tanya jadi saya kata tak ada keperluan sebabnya mana ada kerusi mereka di Pahang ni, ADUN (Ahli DUN) pun tak ada, Parlimen pun tak ada… BERSATU jadian adalah satu. Siapa nak bagi kerusi? PAS tak akan bagi, UMNO tak akan bagi, MCA pun tak akan bagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *