Aokme tak merasalah berbuka puasa di Padang MBK1 tahun ini

Aokme tak merasalah berbuka puasa di Padang MBK1 tahun ini

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tradisi berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)1, di sini, yang sinonim dengan warga Kuantan, tidak dibenar sepanjang Ramadan tahun ini.

  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda berkata, keputusan itu bagi menyekat penularan wabak pandemik COVID-19.

  Sehubungan, katanya, orang ramai, khususnya warga bandar raya Kuantan diminta akur dengan keputusan yang ditetapkan kerajaan negeri.

  “Ketika kes COVID-19 masih lagi berlaku, kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan orang ramai berbuka puasa di Padang MBK1 sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

  Ditanya jumlah peniaga bazar Ramadan di Pahang, Abd Rahim berkata, seramai 1,836 orang dibenarkan berniaga di 58 lokasi.

  Katanya, daripada jumlah itu, MBK merekodkan jumlah peniaga paling ramai iaitu 885 orang membabitkan 25 lokasi.

  “Bagi menyekat penularan COVID-19 di bazar Ramadan, semua peniaga diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama daripada segi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu dan kebersihan gerai.

  “Peniaga juga diwajibkan menutup makanan sepanjang masa dan dilarang menggunakan bekas bungkusan makanan daripada styrofoam.

  “Bagaimanapun, peniaga dibenarkan menggunakan kertas pembungkus khas atau pembungkus plastik High-Density Polyethylene (HDPE),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *