Kampung Orang Asli kini punyai kemudahan jalan raya setaraf kawasan lain

Kampung Orang Asli kini punyai kemudahan jalan raya setaraf kawasan lain

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

BERA: Peruntukan sebanyak RM350 juta akan dipohon daripada Kerajaan Pusat untuk projek menaik taraf Jalan Temerloh-Bera fasa satu sehingga ke Kerayong, disambung pada fasa seterusnya sehingga berakhir di sempadan daerah Bera dengan Negeri Sembilan.

  Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata,

projek berkenaan amat signifikan memandangkan jalan raya sepanjang 23 kilometer itu merupakan laluan sibuk yang menjadi antara laluan utama ke beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Melaka.

Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) bersama penduduk Kampung Chuat melihat jalan baharu yang 
dinaik taraf.

  Katanya, Jalan Temerloh-Bera kini sudah mula berhadapan kesesakan terutama pada hujung minggu berikutan pertambahan pengguna, terutama pengguna dari Kuala Lumpur yang ingin ke negeri jiran melalui jalan berkenaan.

  “Saya berharap Kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan projek berkenaan dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada rakyat memandangkan jalan kini menjadi kemudahan asas yang amat diperlukan.

Masyarakat Orang Asli di Kampung Chuat, Bera, kini selesa menggunakan jalan kampung mereka yang baru dinaik taraf.

  “Projek berkenaan diharap menjadi kenyataan satu hari nanti,” katanya pada majlis penyerahan projek menaik taraf jalan dari Kampung Chuat ke Kampung Bukit Imam Sulong, di sini.

  Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, kerajaan juga tidak pernah ketinggalan menyediakan kemudahan jalan raya untuk masyarakat Orang Asli walaupun mereka menetap di kawasan luar bandar.

  Katanya, jalan Kampung Chuat sepanjang 4.1 kilometer bernilai kira-kira RM3 juta itu siap sepenuh dinaik taraf pada 15 Disember lalu mengikut jadual.

  Menurutnya, projek menaik taraf jalan berkenaan penting bagi menggantikan jalan lama yang sudah rosak teruk dan tidak selesa buat pengguna, sekali gus memberikan keselesaan kepada penduduk setempat melakukan aktiviti seharian.

  “Selain jalan Kampung Chuat yang diluluskan ketika saya menjadi Menteri Luar Bandar, dua lagi projek pembinaan jalan diluluskan di kampung Orang Asli di daerah ini ialah Kampung Serting Hilir dan Kampung Bongkok.

  “Jalan Kampung Serting Hilir membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta telah siap manakala jalan di Kampung Bongkok yang juga bernilai RM5 juta kini dalam proses pembinaan.

  “Kemudahan jalan yang disediakan untuk masyarakat Orang Asli antara bukti betapa prihatin kerajaan yang tidak pernah membezakan antara rakyat,” katanya yang sentiasa berusaha menyelesaikan apa juga masalah rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *