Bantulah PDK untuk bantu kanak-kanak autisme

Bantulah PDK untuk bantu kanak-kanak autisme

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Semua pihak perlu  berganding bahu membantu meringankan beban pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang diamanahkan memberi pendidikan kepada kanak-kanak istimewa (autisme).

  Pengerusi Jawatankuasa  Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan  Wanita dan Keluarga Pahang, 

Dato’ Sri Shahaniza  Shamsuddin berkata, pihak yang berminat boleh menjadi ibu angkat kepada PDK yang terdapat di negeri ini.

  Menurutnya, kerjasama semua pihak dapat meringankan beban PDK yang mengalas tanggungjawab menjaga, mengajar dan memberi latihan pada kanak-kanak autisme bagi memastikan mereka boleh berdikari apabila dewasa.

Pengerusi Jawatankuasa  Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan  Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza  Shamsuddin (dua dari kanan) melawat gerai jualan produk kanak-kanak autisme majlis Sambutan Bulan Autisme peringkat negeri 2021di Dewan Aqua, UCYP Tanjung Lumpur, Kuantan.

  “Kini terdapat lebih 6,000 kanak-kanak autisme di negeri ini, kebanyakan mereka mendapat pendidikan serta latihan di PDK yang terdapat di setiap daerah.

  “Kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu PDK dalam memastikan nasib kanak-kanak autisme terus terbela,” katanya pada majlis Sambutan Bulan Autisme peringkat negeri 2021di Dewan Aqua, UCYP Tanjung Lumpur, di sini.

  Hadir sama, Pengerusi

PUSPANITA Cawangan Negeri Pahang, Datin Sri Kamariah Mohamad.

  Pada majlis berkenaan, diadakan penyampaian hadiah Pertandingan Mewarna e-Poster sempena Bulan Autisme Pahang membabitkan penyertaan seramai 44 kanak-kanak autisme mewakili lapan daerah.

  Sempena sambutan bulan autisme itu juga diadakan forum pengesanan awal autisme di kalangan kanak-kanak yang dianjurkan Biro Pendidikan PUSPANITA Negeri Pahang.

  Shahaniza berkata, ibu bapa yang mempunyai anak autisme perlu berusaha memberi pendidikan dan latihan kepada kanak-kanak berkenaan, dengan harap apabila dewasa nanti mereka boleh berdikari tanpa terlalu bergantung kepada keluarga. 

  “Untuk mengisi tabung PDK yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak autisme, saya mencadangkan PUSPANITA Negeri Pahang menganjurkan jualan amal, setiap ahli menyumbang barangan terpakai seperti pakaian, kasut, beg tangan dan hiasan.

  “Saya yakin projek amal itu mendapat sambutan kerana membeli sambil menderma,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *