MUIP hulur bantuan kepada 12,000 penduduk terjejas PKPD

MUIP hulur bantuan kepada 12,000 penduduk terjejas PKPD

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan bantuan kepada 2,500 ketua isi rumah (KIR) di 13 lokaliti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah, semalam.

Anggota tentera dan 
Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) membantu memindahkan bantuan keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pekan.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan bencana berupa keperluan asas bernilai RM125,000 itu diagihkan secara berperingkat selama tiga hari bermula kelmarin.

  Katanya, bantuan diberikan bagi meringankan beban penduduk di kawasan terbabit yang tidak dibenarkan keluar dari kampung serta taman perumahan tempat tinggal mereka bagi mengelak sebarang kemungkinan berikutan wabak Covid-19.

Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim (dua dari kiri) mengagihkan bantuan keperluan asas kepada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pekan.

  Menurutnya, bantuan keperluan asas diberikan seperti beras, minyak masak, 

tepung, gula, kicap, sos, susu, kopi, biskut dan bihun.

  “Terdapat kira-kira 12,000 penduduk di 13 lokaliti berkenaan yang kini tidak dibenarkan keluar daripada kawasan penempatan mereka melainkan kes tertentu.

  “Penyelarasan bantuan berkenaan dilakukan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Pekan yang turut dianggotai lapan agensi berkaitan,” katanya selepas turut sama mengagihkan bantuan berkenaan.

  Turut hadir, Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim.

   Beliau menambah, bantuan diberikan diharap dapat meringankan beban penduduk setempat yang pastinya tertekan apabila tidak dapat keluar dari kampung dan taman perumahan mereka.

  Antara kawasan terbabit dengan PKPD ialah Taman Peramu Permai, Perumahan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuarters Guru Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Kuarters Guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kuarters Guru Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (INSTAR).

 Turut terbabit, Perumahan Komuniti 1Malaysia, Perumahan Taman Perdana, Taman Sepekan Makmur, Taman Mentiga Jaya, Perumahan Peramu Jaya, Taman Mentiga Jaya dan Kampung Pulau Serai.

  Penduduk Perumahan Pulau Serai, Musa Mohd Rezali, 64, berkata, bantuan yang disediakan MUIP dapat meringankan dia sekeluarga terutama apabila tidak dapat keluar ke kedai bagi mendapatkan bekalan makanan.

  “Saya juga kini memakai gelang putih selepas mendapat pemeriksaan di klinik, dan saya terpaksa berkurung dalam rumah selama 10 hari.

  “Ini semua ujian Yang Maha Esa bagi menguji kesabaran saya dan penduduk setempat, kami semua kini tidak boleh bebas,” katanya yang juga pesara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *