2,128 tiket dijual untuk perlawanan Sri Pahang menentang JDT malam ini

2,128 tiket dijual untuk perlawanan Sri Pahang menentang JDT malam ini

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN:  Pengurusan Sri Pahang FC mengesahkan hanya 2,128 tiket dijual untuk perlawanan Sri Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, di sini, malam ini.

   Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Muhammad Suffian Awang berkata, sehubungan itu, peminat boleh membeli tiket yang dijual secara dalam talian sebelum jam 7 malam ini.

  Katanya, pintu masuk stadium akan dibuka bermula dari jam 7.45 malam hingga 9.45 malam.

  “Oleh itu, penonton yang hadir diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama memakai pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu dan penjarakan fizikal satu meter.

  “Dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, tiada penjualan makanan dibenarkan di dalam stadium.

  “Penggunaan tandas hanya ketika perlawanan sedang berlangsung kerana ketika rehat pada separuh masa pertama, tandas akan ditutup,” katanya.

  Mengulas kemungkinan jumlah tiket akan bertambah, beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada perkembangan semasa dan keadaan wabak terbabit.

  Pada 6 April lalu, Sri Pahang yang mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Terengganu FC (TFC), kira-kira 1,000 penyokong Sri Pahang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *