MBK larang warga emas, kanak-kanak kunjungi bazar Ramadan

MBK larang warga emas, kanak-kanak kunjungi bazar Ramadan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Bermula hari ini, warga emas dan kanak-kanak tidak lagi dibenarkan mengunjungi bazar Ramadan di bandar raya ini.

  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin berkata, larangan itu dikuatkuasakan untuk menyekat penularan wabak pandemik COVID-19.

  Katanya, ini kerana jumlah kes COVID-19 di daerah Kuantan menunjukkan peningkatan dan sebagai langkah berjaga-jaga, larangan itu perlu dilaksanakan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda (kanan) dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid (kiri) ketika mengadakan Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Pesisiran Pantai di Pantai Sepat, Kuantan, hari ini.

  “Bagaimanapun, peniaga dan pengunjung diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berada di bazar Ramadan.

  “Saya harap mereka lebih berdisplin dan beratur mengikut SOP yang ditetapkan iaitu daripada segi penjarakan fizikal satu meter,” katanya.

  Hamdan berkata demikian kepada media selepas lawatan kebersihan pantai dan pesisiran pantai di Pantai Sepat, di sini hari ini.

  Lawatan itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda. Turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid.

  Pada Ramadan tahun ini, MBK meluluskan 26 lokasi bazar Ramadan beroperasi di sekitar daerah ini.

  Mengulas penggunaan sistem nombor di bazar Ramadan, beliau berkata, pelaksanaannya bertujuan mengawal jumlah pengunjung dan mengelak berlaku kesesakan di bazar itu.

  “MBK juga akan sentiasa membuat pengumuman dan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

  “Pelanggaran SOP boleh menyebabkan peniaga dikenakan kompaun atau lesen perniagaan dibatalkan,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *