Sakit perut di hari pertama puasa benar-benar menguji keimanan Saudara Baru

Sakit perut di hari pertama puasa benar-benar menguji keimanan Saudara Baru

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Saya hampir berbuka hari pertama puasa apabila sakit perut beberapa jam sebelum waktu berbuka.

  “Namun saya bersyukur semangat kuat yang ada akhirnya ibadah puasa kali pertama dilalui sampai ke waktu Maghrib,” kata remaja Orang Asli, Shariza Zainal, 18.

Remaja Orang Asli, 
Shariza Zainal (dua dari kiri) dan Rusali Gari (kanan) yang sedang belajar di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA), merasai nikmat berbuka puasa buat kali pertama tahun ini.

  Menurutnya, penat dan dahaga tidak dinafikan pada hari pertama puasa namun 

dengan sokongan rakan dan ustazah dapat menambahkan lagi semangatnya untuk terus menjalani ibadah puasa 

  Dia yang sedang belajar di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) Tanjung Lumpur, di sini berkata, kali pertama berpuasa memang banyak cabaran yang terpaksa dilalui sehingga nyaris tidak dapat menyempurnakan Rukun Islam ketiga itu.

  Katanya, selepas empat hari puasa, keadaan semakin selesa dan rasa dahaga serta lapar sudah sebati malah mula terasa seronok terutama setiap kali menunggu waktu berbuka.

 “Waktu berbuka masa yang ditunggu-tunggu apabila dapat makan beramai-ramai bersama 60 pelajar Orang Asli lain termasuk ustazah dan ustaz yang sentiasa memberi sokongan.

  “Saya suka makan karipap dan kuih popia. Selepas solat Maghrib secara berjemaah, nasi menjadi hidangan wajib yang dimakan sebelum tiba waktu bersahur,” katanya di sini, hari ini.

  Shariza yang berasal dari Kampung Moi, Cameron Highlands berkata, dia berminat dengan Islam sejak dibangku sekolah namun hanya berpeluang melafazkan syahadah lima bulan lalu.

  “Mimpi solat di surau bersama penduduk kampung menjadi pembakar semangat saya untuk memeluk Islam, ia dikuatkan lagi dengan sokongan keluarga,” katanya yang berketurunan suku Semai.

  Bagi Rusali Gari, 26, yang berasal dari Kampung Kedaik, Rompin, kali pertama puasa begitu memenatkan kerana terlalu lapar dan dahaga.

  “Sebelum ini saya hanya tengok kakak berpuasa, namun kali ini saya sendiri hadapi. Semangat Islam yang ada dalam diri ini membolehkan ibadah berkenaan dilalui.

  “Saya bersyukur selepas empat hari berpuasa keadaan sudah dapat dikawal, walaupun lapar dan dahaga namun tidak terlalu memenatkan,” kata anak kelima daripada sembilan beradik.

  Dia yang memeluk Islam lebih lapan bulan lalu berkata, waktu berbuka amat ditunggu apabila berpeluang makan bersama rakan selain menikmati hidangan istimewa yang disediakan pihak PETAMA.

  Kini ada seramai 60 remaja Orang Asli lelaki dan perempuan belajar di PETAMA, termasuk enam daripada mereka kali pertama berpuasa. Selain mengikuti pengajian agama setiap hari, mereka juga bertadarus al-Quran sepanjang Ramadan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *